Pengerusi Selangor FC, DYTM Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam titah rasminya menegaskan tidak pernah ada parasit di dalam pengurusan kelab itu.
Sebelum ini, terdapat pihak mendakwa terdapat parasit dalam pengurusan Selangor dengan mengaitkan nama bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Izhar Moslim.
RMS juga mengesahkan Izhar sudah menyerahkan surat peletakan jawatan dan tidak lagi terbabit secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan Gergasi Merah.
“Beta ingin menyeru semua penyokong Selangor untuk terus bersatu dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur-unsur luar yang tidak berasas dan ingin memecahbelahkan kita.
“Beta juga ingin tekankan dan memberi jaminan bahawa tidak pernah ada parasit di dalam pengurusan Beta. Ini sebenarnya adalah saat kita memerlukan sokongan yang positif, membina dan tidak berbelah bahagi daripada semua agar kita dapat bersama membantu pasukan kesayangan ini bangkit semula. Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, kerana kita adalah satu.
“Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk turut mengucapkan jutaan terima kasih buat Izhar Moslim di atas segala sumbangan dan pengorbanan beliau sepanjang berada di Kelab ini.
“Untuk makluman semua, Izhar Moslim telah menyandang jawatan Naib Presiden FAS dari tahun 2018 hingga 2019 dan Beta melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah semasa Selangor FC diswastakan dan ditubuhkan pada tahun 2020. Baru-baru ini, Beta telah memberi perkenan surat perletakan jawatan beliau yang bertarikh 7 Julai 2022, maka beliau tidak lagi terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan pengurusan Selangor FC,” katanya.
Titah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor – Pengerusi Selangor FC.#MKLK pic.twitter.com/popkdRy2BZ
— Selangor FC (@selangorfc) August 30, 2022
Malah, Selangor juga sudah melakukan persiapan awal membentuk pasukan yang lebih mantap untuk saingan Liga Malaysia musim depan dan beberapa pengumuman rasmi akan dibuat nanti.
“Beta sedar prestasi pasukan baru-baru ini tidak menyebelahi kita, namun ingin Beta beri jaminan bahawa Beta dan pihak pengurusan telah mengenal pasti kekurangan pasukan yang perlu diperbaiki secara terperinci.
“Beta bersama pihak pengurusan sudah mula menangani isu-isu tersebut dan telah memulakan gerak kerja untuk musim hadapan yang akan disusuli dengan beberapa pelantikan teknikal yang baharu termasuk Pengarah Sukan, Pengarah Teknikal, bahagian kejurulatihan, serta langkah-langkah lain yang perlu diambil untuk memperkuatkan pasukan utama Selangor.
“Proses ini sudah mula berjalan dan beberapa pengumuman penting akan diadakan dari masa ke semasa,” jelasnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
Final Piala FA Serentak Dengan Konsert Dewa 19, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Pada 10 September
Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS