Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya, mengakui tertarik dengan misi badan pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL) untuk menjadikan Liga Malaysia sebagai antara yang kompetitif di benua Asia sekali gus boleh meningkatkan kualiti skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Beliau melihat misi MFL dalam meningkatkan kualiti pertandingan Liga Malaysia mampu beri kesan positif secara serampang dua mata dan menarik ramai pemain berkelas dunia beraksi di Liga Malaysia.
Pertandingan merupakan asas pertama daripada empat asas yang diletakkan di dalam Next50 Strategic Blueprint 2021-2070 dengan harapan mampu layak ke Piala Dunia Kelab dalam tempoh 20 tahun akan datang.
“Saya tertarik dengan asas pertama iaitu pertandingan kerana saya setuju bahawa pemain sememangnya memerlukan pertandingan yang berkelas tinggi.
“Pertandingan yang berlandaskan konsep berkualiti dan kompetitif dapat melahirkan pemain-pemain yang berpotensi besar untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“Ia secara tidak langsung bakal memberi peluang kepada mereka untuk mewakili negara dan dalam masa sama dapat menaikkan lagi martabat Liga Malaysia dengan lebih tinggi,” jelasnya.
Selain itu, Rezal akui segala yang diterangkan oleh MFL dalam Next50 Strategic Blueprint sudah meliputi daripada semua aspek dan melihat tiada masalah untuk kebanyakan pasukan mengikuti perancangan ditetapkan.
Justeru, beliau berharap segala sasaran ditetapkan MFL mampu diterjemahkan oleh semua pasukan melalui kerjasama ampuh antara semua pihak.
“Sebenarnya memang tidak dinafikan ia adalah perancangan yang baik berdasarkan perlaksanaan yang akan dijalankan nanti oleh semua yang terlibat.
“Jadi saya rasa ini hala tuju bola sepak yang baharu di mana segala apa yang telah dirancang merupakan panduan terbaik yang kita boleh turuti.
“Andai ia dituruti dan dilaksanakan dengan betul oleh semua pihak, sudah semestinya kita akan capai banyak hasil positif menerusi Next50 Blueprint ini,” katanya.