Perak dan Sabah terus menjadi topik hangat di media sosial dalam beberapa hari ini. Ini kerana beberapa pemain Perak dilaporkan sedang berkira kira untuk angkat kaki sekiranya gaji mereka terus tertunggak.
Kerajaan Perak kejam?
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan beliau bukan tak mahu membantu Perak FC lagi, tetapi menegaskan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya sudah memberikan keseluruhan RM4 juta untuk Perak FC.
Terdapat dua transaksi pembayaran dibuat iaitu RM2.5 juta dan terbaru RM1.5 juta untuk membantu menyelesaikan tunggakan gaji sebelum ini.
Dipetik dari Utusan Online, Datuk Saarani berkata kerajaan Perak bukannya tak bersimpati tetapi sudah membantu yang termampu.
“Saya faham, saya tengok dalam Facebook ramai menyalahkan saya seolah-oleh saya tak peduli masalah gaji pemain namun terus terang saya katakan kerajaan negeri sudah berbelanja RM4 juta menggunakan duit GLC.”
“Saya minta maaf kepada peminat Perak, saya sudah membantu RM4 juta. Mereka (Perak FC) sudah datang berbincang dengan memberitahu masalah mereka dan saya kata saya hanya boleh membantu seperti mana yang kita telah beri.”
Kemelut tunggakan gaji melanda Perak FC membuatkan ejen kepada beberapa pemain Perak sebelum ini bersuara dan kemungkinan akan mengaktifkan klausa khas yang membolehkan pemain menamatkan kontrak serta merta.
Dalam aksi di antara Perak dan UiTM De Paula meraikan gol dengan menunjukkan isyarat 2 jari dan dislike merujuk kepada tunggakan gaji yang mereka alami ketika ini selama dua bulan.
2 Bulan tidak dibayar gaji?#LigaSuper2021 pic.twitter.com/D0voDhACfS
— VOCKET FC (@vocketfc) April 7, 2021
Peminat harus faham
Saarani menambah, para peminat harus faham bahawa Perak FC sudah diswastakan dan bukan lagi di bawah kerajaan negeri. Oleh itu beliau berpendapat, tugas Perak FC adalah untuk berniaga dan mencari dana bagi meneruskan operasi pasukan.
Dan beliau menegaskan lagi, kerajaan negeri sebenarnya bermurah hati sebelum ini membantu Perak FC dalam menyuntik dana kerana memahamai Perak FC masih baru sebagai entiti perniagaan.
Secara keseluruhan kerajaan negeri telah memberikan RM4 juta kepada bola sepak Perak iaitu RM2.5 juta untuk tunggakan gaji selama dua bulan sebelum ini dan baru-baru ini lagi bantuan sebanyak RM1.5 juta. https://t.co/5H4PFYRZrF
— Utusan Malaysia (@UMonline) April 8, 2021
Dipetik dari sumber yang sama, Saarani berkata: “Tidak betul kalau ada yang kata kerajan negeri tak langsung bantu. Saya telah mengambil inisiatif memujuk beberapa GLC untuk membayar gaji, sebenarnya itu bukan tanggungjawab saya, tapi saya tak mahu melihat kerosakan yang berlaku.”
Selain itu beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh membiayaai secara keseluruhan kos operasi Perak FC kerana wang itu digunakan untuk peruntukan lain termasuk pembangunan usahawan dan membantu golongan miskin yang memerlukan.
Beliau berkata: “Rakyat kalau dapat RM500 pun sudah gembira, tapi kalau saya bantu mereka (pemain bola) sampai RM40,000, RM50,000 sebulan malahan jurulatih RM180,000 sebulan, ini tidak adil.”
Selain daripada masalah gaji pasukan utama, Utusan Malaysia juga melaporkan bahawa Perak FC II juga mengalami masalah yang sama.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril menawarkan pegangan saham kepada mana mana pihak yang berminat membantu Perak FC menyelesaikan masalah yang melanda. BOD Perak FC menyatakan langkah itu terpaksa dibuat selepas Perak FC mengalami masalah kekurangan penaja.
Gaji Februari dah selesai
Dipetik dari sumber Harian Metro, Khairul menegaskan: “Saya tawarkan kepada mana-mana pihak yang berminat membantu kita khususnya untuk menjadi penaja utama, bahkan kita tiada masalah jika mereka, termasuk sebaiknya jika ada putera dari negara Arab sekalipun yang turut ingin membeli ‘share’ (pegangan saham) Perak FC.”
“Ada juga cadangan daripada peminat agar buka (tawarkan) saham kepada mereka sendiri namun pada kita ia bukan semudah yang disangka memandangkan banyak perkara perlhu diperhalusi termasuk implikasi di masa mendatang.”
“Sebelum ini banyak pihak datang kepada kita menawarkan tajaan, namun ia bukanlah penajaan tulen apabila meletakkan syarat inginkan pulangan dari pihak kerajaan negeri sebagai batu loncatan perniagaan mereka umpamanya. Pada saya itu tidak memenuhi objektif menyelesaikan masalah.”
#ipoh #bolatime Perak FC menawarkan pegangan saham kelab bola sepak itu bermula hari ini kepada mana-mana pihak yang berminat sebagai antara langkah menyelesaikan kemelut kewangan yang melandanya termasuk mengenai isu tunggakan gaji pemain. https://t.co/nki3kS9G7x
— Harian Metro (@hmetromy) April 8, 2021
Khairul menafikan bahawa dakwaan Perak FC menanggung hutang sebanyak RM6 juta seperti didakwa netizen. Dan berkenaan dengan tunggakan gaji, beliau menegaskan bahawa gaji Februari sudah diselesaikan pada kelmarin, melibatkan RM900,000 daripada dana kerajaan negeri Perak.
Khairul yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak menerangkan bahawa, pengurusan lama sebelum ini meninggalkan hutang sebanyak RM3.8 juta.
“Sewaktu mula mengambil alih Perak FC, di tangan kita sudah ada tunggakan dua bulan bernilai RM 3.8 juta daripada. Saya sebagai exco kerajaan negeri terpaksa campur tangan termasuk hutang RM3.8 juta yang kerajaan negeri bantu Perak FC selesaikan sebelum ini, itu peminat perlu ingat.”
Selepas berita Perak yang panas, bola sepak tempatan digemparkan dengan berita dari Sabah. Di mana para pemain Sabah dilaporkan mogok tidak mahu meneruskan latihan persiapan aksi Liga Super minggu ini, kerana kecewa gaji mereka 3 bulan sudah tertunggak.
Manakala gaji jurulatih pula sudah 4 bulan tak dibayar. Walaupun Sabah FC sebelum ini dengan selamba mengeluarkan surat amaran kepada ketua jurulatihnya, untuk memperbaiki prestasi.
3 Bulan Tidak Dibayar Gaji, Pemain Sabah Boikot Sesi Latihanhttps://t.co/60ZWud5v7p
— VOCKET FC (@vocketfc) April 8, 2021
Sabah FA baru sahaja mengesahkan bahawa memang ada tunggakan gaji namun menafikan bahawa ianya tunggakan sampai 3 bulan. Pokok pangkalnya, tunggakan gaji terus menjadi isu besar dalam bola sepak Malaysia.
Cerminan realiti bola sepak Malaysia
Apa yang berlaku di Perak dan Sabah ini, adalah gambaran realiti bola sepak di Malaysia. Masih banyak kelab yang gagal beroperasi dengan sebaiknya.
Trend dia hampir sama setiap musim. Selepas ini akan ada beberapa pasukan lagi mengadu masalah yang sama.
Masih banyak kelab berbelanja atas tiket angka akaun yang tidak fizikal ataupun duit dalam tangan.
Di mana, mereka memasukkan angka tajaan yang masih belum sah masuk ke akaun mereka, ke dalam modal mereka. Sebenarnya pendekatan ini sangat berisiko. Memang ada penaja akan membayar tajaan mereka walaupun lambat.
Namun untuk wang yang masih belum sah masuk, ianya boleh jadi tidak akan masuk. Kerana perjanjian kontrak ini tertakluk kepada banyak terma dan syarat yang mebolehkannya terbatal ataupun penaja tak dapat membayar kerana masalah kewangan di pihak mereka termasuk muflis.
ECP
Oleh sebab itu, sebelum ini MFL mewujudkan satu peraturan kawalan ekonomi (ECP) kesemua pasukan yang bertanding di Liga Malaysia.
Program yang diilhamkan daripada La Liga. Perlaksanaan ECP itu bertujuan untuk mewujudkan peraturan belanjawan, kriteria, prosedur dan templat bagi kelab-kelab bola sepak di Malaysia mematuhi peraturan selain mengelakkan mereka berbelanja secara berlebihan berdasarkan kemampuan mereka.
Menerusi laman rasmi MFL menyatakan:
“Salah satu objektif utama ECP adalah memastikan bahawa pasukan hanya dibenarkan berbelanja berdasarkan keupayaan kewangan mereka dan tidak merekrut pemain pada kos yang tinggi jika mereka tidak mampu berbuat demikian daripada segi kewangan.”
“MFL telah menjalin kerjasama dengan LaLiga dan bersedia mendapat bimbingan daripada wakil Eropah itu untuk menjayakan ECP di Liga Malaysia bermula musim depan [2020].”
Bagaimanapun terdapat tiga peringkat utama dalam perlaksanaan program tersebut iaitu penjelasan implikasi, denda pasukan dan mematuhi resolusi baharu.
“Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Urusan La Liga Asia Tenggara, Ivan Codina, ECP memiliki tiga peringkat utama bermula daripada peringkat pertama adalah menjelaskan implikasi peraturan kepada pasukan serta manfaat jangka panjang yang boleh diperolehi.
“Disusuli tahap kedua pula akan melibatkan pelaksanaan penuh kawalan ekonomi dengan denda kepada pasukan yang gagal mematuhi peraturan dan peringkat terakhir adalah untuk memastikan semua pasukan tidak lagi mempunyai masalah dalam mematuhi resolusi baharu untuk kepentingan semua para pemain,” kata kenyataan tersebut.
Tiga peringkat utama ini adalah sangat penting kerana setiap pasukan perlu diberi penjelasan yang tepat mengenai ECP sehingga mereka memahami sepenuhnya peraturan dan denda yang akan dikenakan sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan.
MFL PERKENALKAN PERATURAN KAWALAN EKONOMI
Baca lanjut: https://t.co/3LbeRzfquM#MFL pic.twitter.com/Pnrlg5o4rJ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 29, 2019
Apa yang pasti, Liga Malaysia bakal menjadi liga kedua yang menggunakan pendekatan yang digunapakai oleh LaLiga dalam usaha membantu ekonomi bola sepak.
Justeru, MFL telah menjalankan proses tender terbuka dan selepas pertimbangan teliti, MFL telah bersedia memutuskan untuk melantik PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn Bhd (PwC Malaysia) untuk membangunkan ECP di Liga Malaysia.
Projek itu dijangka dimulakan pada Julai 2019 dan peraturan-peraturan itu disasarkan untuk diumumkan pada hari terakhir musim ini, sebaik ia diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Jadi, persoalannya, di mana ECP?
Adakah ianya masih dilaksanakan? Ataupun ECP gagal berfungsi dengan sebaiknya?
Jika ECP dilaksanakan dengan baik, maka situasi ini tidak akan berlaku. Kerana setiap pasukan perlu membentang bajet pasukan untuk musim tersebut.
Dan ECP akan mengeluarkan angka yang boleh dibelanjakan untuk mendapatkan pemain, jurulatih, termasuk gaji mereka.
Dan pasukan tidak boleh melebih had yang ditetapkan oleh ECP. Yang modelnya mungkin mirip kepada Financial Fairplay di Eropah.
Namun ianya berbeza dengan FFP kerana tiada had untuk pasukan berbelanja jika mereka mampu dan menjana pendapatan yang tinggi.
Berbeza dengan FFP di mana, kelab tidak boleh sewenang wenang berbelanja melebihi had pendapatan yang mereka dapat daripada tajaan, penyiaran dan juga hadiah kemenangan. Suntikan dana daripada pemilik tidak boleh sesuka hati. Kerana ianya akan mewujudkan jurang yang sangat besar kepada pasukan lain, yang bersaing di liga yang sama.
Itulah sebabnya Man City dan PSG sebelum ini disiasat sumber dana mereka yang dilaporkan dipalsukan maklumat. Suntikan dana daripada pemilik telah dilaporkan sebagai wang tajaan.
Mungkin ramai merasakan bahawa jika mereka mengikuti garis panduan ECP, mereka akan gagal menarik pemain bermain dalam pasukan mereka. Ataupun pemain import yang bagus. Realitinya, kita kena berbelanja berdasarkan kemampuan sendiri.
Dan tidak semua pemain boleh pergi ke satu pasukan kaya, dengan ribuan pemain profesional di Malaysia ini.
Rumusan
ECP merupakan mekanisme yang terbaik untuk mengawal perbelanjaan kelab dan rakan kongsi MFL. Tetapi situasi sekarang, seolah olah ECP telah dimanipulasi dan kelab kelab ini tidak patuh. Dari sudut bertentangan, ECP kelihatan masih tidak tegas dalam perlaksanaannya.
Perlaksanaan ECP sebenarnya memerlukan semua pihak bertintergriti dan patut dengan peraturan. Selain daripada ECP itu sendiri perlu konsisten dan lebih cekap berfungsi dalam struktur liga Malaysia.
Seterusnya, bola sepak kita perlu diuruskan dengan sebaiknya. Pentingnya orang yang pakar dalam bidang operasi bola sepak, terutama sekali jawatan seperti CEO dan Pengarah Sukan yang diterajui mereka yang arif dalam bidang ini.
Mereka ini yang akan mengawal selia operasi pasukan dan mencari solusi untuk menambah pendapatan pasukan.
Budaya kebergantungan kepada dana kerajaan sudah menjadi ‘football heritage’ di negara kita. Dengan Liga Malaysia yang sudah berada di fasa penswastaan sepenuhnya, setiap pasukan harus sedar, penswastaan bukan hanya melakukan perkara ‘fancy’ menukar logo dan nama kelab semata mata, ianya lebih besar daripada itu.
Dengan pandemik yang melanda pada hari ini, banyak pasukan terkesan. Namun untuk pasukan yang memang kurang fanbase, mereka sebenarnya sudah lali dengan masalah tiada pendapatan yang besar daripada tiket.
Tetapi pasukan – terutama yang berasaskan nama negeri – mereka biasanya mendapat wang daripada kutipan tiket perlawanan. Inilah masanya kelab dan pengurusan mencari solusi terbaik. Di Eropah ada kelab memotong gaji pemain buat sementara, selagi lagi tidak ada kemasukan penyokong penuh ke stadium.