Kelab Liga Thailand, Ratchaburi memberi bayangan pemain sayap negara, Safawi Rasid sudah pulih daripada kecederaan yang dialami minggu lalu dan siap diturunkan pada perlawanan seterusnya.

Baca Juga:

Ratchaburi dijadualkan turun menentang Nongbua Pitchaya pada 5 Februari ini dalam aksi liga dan Safawi Rasid dijadikan sebagai poster perlawanan bagi aksi di laman sendiri nanti.

Hantaran di laman media sosial Facebook kelab itu nyata mendapat sambutan hangat khususnya daripada peminat Malaysia yang mahu menyaksikan pemain itu beraksi.

Sebelum ini, ketika perlawanan berdepan Lamphun Warrior, Safawi dikasari oleh pemain lawan Mika Chunuonsee pada minit ke-54 ketika pemain itu sedang cuba memembuat gerakan ke kubu pertahanan lawan.

Terjahan keras itu menyebabkan Safawi mengalami kesakitan dan seterusnya terpaksa dikeluarkan bagi membenarkan pemain itu mendapat rawatan.

Pada perlawanan Thai League Cup menentang Nongbua Pitchaya bulan lalu, Safawi dianggap menampilkan prestasi yang baik dimana pemain itu membantu Ratchaburi melangkah ke peringkat suku akhir.

Menurut perkongsian laman tidak rasmi kelab di media sosial Twitter, Safawi menampilkan persebahan yang baik dimana beliau mencipta beberapa peluang untuk rakan sepasukan.

“Untuk peminat Malaysia, Safawi bermain dengan baik hari ini (malam ini). Dia mencipta beberapa peluang untuk rakan sepasukan dan banyak membuat larian sehingga kehabisan tenaga. Kami sayang dia,” katanya.

Ketika ini, Ratchaburi menduduki tangga keempat dalam carta Liga Thailand dimana mereka ketinggalan tiga mata dibelakang pasukan tangga ketiga iaitu Chonburi dan empat mata di belakang pasukan yang menghuni tangga kedua iaitu Bangkok United.