Bekas penyerang import Kedah Darul Aman, Willian Lira berhijrah ke negara jiran apabila beliau rasmi menyertai Chonburi yang bakal beraksi dalam saingan Thai League 1.
Baca Juga:
- Azraai Khor Puas Hati Dengan Prestasi Willian Lira
- Ifedayo Olusegun Perkuat Jentera Serangan Kedah
- Azraai Khor Sambut Baik Kehadiran Ifedayo Olusegun
Ketibaan Lira diumumkan oleh pihak kelab menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana pemain itu berjaya menemui kelab baharu tidak sampai sebulan setelah meniggalkan Kedah.
Pemergian Lira dari skuad Hijau Kuning nyata mengejutkan peminat dimana penyerang kelahiran Brazil itu menampilkan prestasi yang baik setelah menyertai kelab itu dari saingan Liga Jepun.
Willian Lira menjaringkan lapan gol dalam saingan Liga Super dan sentiasa menjadi pilihan pengendali pasukan, Nafuzi Zain untuk membarisi kesebelasan utama.
Akan tetapi, rekod tersebut tidak cukup untuk memastikan pemain itu kekal di bumi Darul Aman dimana beliau dan pihak kelab mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak dengan lebih awal.
“KDA FC bersetuju untuk melepaskan Willain Lira dengan rasa berat hati namun menghormati keputusan pemain untuk membawa haluan berbeza dalam tempoh pertengahan Liga Super ketika nisbah jaringannya cukup baik dalam setiap perlawanan.
“Walaupun penampilannya pada awal musim menerima pelbagai reaksi kurang senang, namun pemain berasal dari Brazil ini tetap bangkit membuktikan ketajaman dengan membantu Sang Kenari mencipta kemenangan.
“Lira adalah penjaring terbanyak Sang Kenari dalam kancah Liga Super setakat 14 perlawanan dengan lapan gol. Ketahanan fizikal, sentiasa bersedia beraksi dalam setiap perlawanan menterjemahkan sikap professionalnya di dalam dan luar padang. Ke mana sahaja anda selepas ini, ingatlah anda selamanya Sang Kenari,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.
Dalam saingan Thai League musim 2022/2023, Chonburi menamatkan saingan di tangga keenam sekaligus gagal untuk melayakkan diri ke saingan AFC Champions League (ACL) musim hadapan.
Selain Lira, Chonburi memiliki empat lagi pemain import iaitu Lee Chan-dong, Amadou Ouattara, Patrick Deyto dan Aung Kaung Mann.