Jodoh pengurus pasukan Chelsea, Graham Potter bersama kelab tersebut berakhir selepas beliau telah mencapai kata sepakat untuk meninggalkan The Blues.

Baca Juga:

Keputusan yang pastinya melegakan para penyokong Chelsea itu disahkan laman sesawang rasmi kelab tersebut sebentar tadi.

Pengendali berusia 47 tahun itu menyertai Chelsea pada 9 September 2022 dengan kontrak selama lima tahun bagi menggantikan pengurus terdahulu, Thomas Tuchel yang dikatakan tidak sebulu dengan pemilik pasukan, Todd Boehly.

Ketika Potter diharapkan dapat menjayakan perancangan jangka masa panjang buat Chelsea, semuanya nyata tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Ia berikutan prestasi hambar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan Chelsea hanya mencatatkan tujuh kemenangan, tujuh keputusan seri dan lapan kekalahan pada 22 perlawanan dibawah kendaliannya.

Lebih sukar buat para penyokong Chelsea, pasukan kesayangan mereka pada ketika ini hanya berada di kelompok pertengahan liga iaitu menduduki tempat ke-11.  Terbaharu, The Blues tunduk 0-2 ditangan Aston Villa pada aksi yang berlangsung di Stamford Bridge, kelmarin.

“Chelsea mengumumkan bahawa Graham Potter telah meninggalkan kelab. Graham bersetuju untuk bekerjasama dengan kelab untuk memudahkan transisi ini.”

“Pada waktu dia bersama pasukan, Graham telah membawa kami melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah dimana kami akan bertemu Real Madrid.”

“Chelsea ingin mengucapkan terima kasih buat Graham atas segala usahanya dan sumbangan buat kelab dan mengucapkan selamat maju jaya pada masa akan datang.”

Sementar menantikan pengurus baharu tiba, Bruno Saltor yang sebelum ini bertindak dalam membantu Graham Potter akan mengambil alih pasukan buat sementara waktu.

Sumber