Sabah mendapat tambahan yang cukup berkualiti di jentera serangan bagi menghadapi musim 2023 apabila baharu sahaja mengumumkan kehadiran penyerang skuad kebangsaan, Darren Yee Deng Lok.
Perkembangan terkini mengenai kedatangan penyerang berusia 31 tahun itu disahkan oleh laman Facebook rasmi Sabah Football Club, sebentar tadi.
Menamatkan saingan Liga Super musim ini ditangga ketiga sehingga berjaya melayakkan diri ke Piala AFC 2023, penyerang pasukan Sabah bagaimanapun berdepan masalah ketumpulan penyudah.
Ia jelas dibuktikan apabila pemain import dari Korea, Park Taesu yang beraksi di posisi tengah merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan lapan gol. Baddrol Bakhtiar pula di tempat kedua dengan enam gol.
Keadaan itu sudah pastinya memeningkan kepala Datuk Ong Kim Swee, tambahan pula pemain yang disandarkan harapan selaku penyerang utama iaitu Altemir Cordeiro Pessôa Neto hanya mampu menjaringkan dua gol manakala penggantinya pada pertengahan musim, Jose Embalo sekadar menyumbang satu jaringan.
Kehadiran Darren Lok bagi memperkuatkan pasukan jelas dilihat mampu menjadi penyelesaian terhadap masalah tersebut kerana kredibiliti beliau sebagai penyerang sememangnya tidak boleh dipertikaikan.
Dengan pasukan yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan [PJ City], Darren mampu meledakkan 10 jaringan dalam saingan Liga Super serta dua gol bagi kempen Piala Malaysia. 10 gol tersebut juga menjadikannya sebagai penjaring terbanyak Liga Super dalam kalangan pemain tempatan.
Para penyokong Sabah juga kelihatan begitu teruja menerima kehadiran Darren Lok ke dalam pasukan tersebut dan pasti harapan tinggi diletakkan di bahu beliau untuk terus meledakkan jaringan.