Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila mengumumkan kemasukan pemain sayap Argentina, Manuel Hidalgo sebagai import baharu untuk musim 2023.

Baca Juga:

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan watak penting yang membantu jentera serangan Sri Pahang selama dua musim berturut-turut. Berdasarkan rekod, beliau telah menjaringkan 9 gol serta 14 bantuan jaringan dalam 35 penampilan bersama skuad Tok Gajah.

Hidalgo sebenarnya masih mempunyai baki kontrak selama satu musim namun difahamkan pengurusan KDA FC telah menebus kontrak tersebut dengan jumlah nilai yang cukup besar.

Kehadirannya dalam skuad Kenari sangat ditagih oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang mencari pengganti Faisal Halim di bahagian sayap memandangkan pemain skuad kebangsaan itu telah disahkan menyertai Selangor.

Menurut kenyataan rasmi, Hidalgo akan memakai jersi bernombor 88 pada musim ini.

Dengan kelincahan dan kebolehan Manuel Hidalgo, skuad Kedah kali ini bakal tampil berbeza daripada musim-musim sebelumnya dan mungkin akan menjadi salah satu pencabar terkuat dalam kancah Liga Super 2023.

Selain Hidalgo, dua lagi pemain import turut memperkuatkan pasukan tersebut ialah pemain pertahanan dari Serbia, Bojan Ciger dan penyerang dari Brazil, William Lira Sousa.

Pengumuman mengenai barisan pemain KDA FC pada musim 2023 hari ini dibuat oleh  pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar. Dua pemain skuad Harimau Malaya menyertai pasukan tersebut ialah pemain naturalisasi, Lee Tuck dan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz.