Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) hari ini mengumumkan penamatan khidmat Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih pasukan itu susulan kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super 2022.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan rasmi KDA FC, tempat jurulatih dari Singapura itu akan digantikan oleh Victor Andrag sebagai Pemangku Ketua Jurulatih (Interim) KDA FC untuk baki saingan Liga Malaysia yang bakal bermula pada 25 dan 26 Oktober ini.

“KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan khidmat Aidil Sharin Sahak bersama pasukan Kedah sepanjang 4 tahun di bumi jelapang padi dengan meninggalkan legasi dan rekod pasukan bolasepak Kedah muncul Juara Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super pada musim 2020 dan 2021, layak ke peringkat Separuh Akhir Zon Asean Piala AFC 2022, termasuklah kejayaan membawa Kedah 3 tahun berturut-turut ke pentas Asia dengan layak ke perlawanan Play-Off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada tahun 2021 dan 2022.

“Ahli Lembaga Pengarah KDA FC memberi keutamaan perancangan kelab untuk musim 2023 dan mengumumkan untuk membawa haluan berbeza dengan Aidil Sharin Sahak, Ketua Jurulatih pasukan KDA FC untuk baki saingan Liga Malaysia musim ini,” kata CEO KDA FC, Khamal Idris Haji Ali.

Khidmat jurulatih tersebut pasti ditagih oleh beberapa pasukan lain berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki oleh Aidil Sharin terutamanya dalam saingan Piala AFC.

“KDA FC mengucapkan selamat maju jaya dengan kerjaya kejurulatihan beliau di masa hadapan dan percaya pengalaman kejurulatihannya cukup berharga bagi mana-mana kelab di peringkat liga domestik dan Asean,” kata Khamal.

Pasukan itu dijadualkan menentang Negeri Sembilan FC untuk saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman dan bertandang ke halaman lawan pada 31 Oktober atau 1 November.