Pemain Jepun terus mendapat perhatian daripada kelab-kelab Eropah apabila baru-baru ini Rapid Vienna, kelab yang beraksi dalam saingan Austrian Bundesliga berminat untuk menandatangani penyerang Shimizu S-Pulse, Koya Kitagawa.

Kitagawa beraksi bersama Shimizu sejak musim 2015 dimana beliau telah membuat lebih daripada 100 penampilan bersama kelab yang berpangkalan di bandar Shizuoka itu. Dalam saingan J1 League musim 2018, Kitagawa berjaya menjaringkan 13 gol untuk Shimizu dan catatan tersebut meletakkan beliau di kedudukan 10 penjaring terbanyak Liga.

Prestasi cemerlang Kitagawa berjaya menarik minat pengendali skuad kebangsaan Jepun ketika itu, Akira Nishino bagi memanggil beliau untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. Pemain berusia 22 tahun ini membuat penampilan pertama bersama pasukan senior Jepun pada perlawanan persahabatan menentang Panama pada 12 Oktober 2018.

Koya Kitagawa
Sumber Gambar: Getty Images

Akira turut menyenaraikan Koya Kitagawa dalam pasukan yang beraksi dalam temasya Piala Asia 2019 pada awal tahun ini. Kitagawa beraksi dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan dan dua perlawanan di peringkat kalah mati. beliau membantu Jepun mara sehingga ke perlawanan akhir. Akan tetapi, skuad The Samurai Blue gagal memenangi kejuaraan apabila tewas kepada Qatar dengan keputusan 3-1.

Dalam saingan Austrian Bundesliga musim 2018/2019, Rapid menamatkan saingan di tangga ke-8 sekaligus mereka perlu beraksi dalam Relegation Play-off yang melibatkan 6 pasukan. Rapid berjaya menduduki tangga teratas dan mereka mahu memantapkan jentera serangan bagi mengelak pencapaian musim lalu daripada berulang.

Musim 2019 menyaksikan ramai pemain Jepun berhijrah ke Eropah dengan menyertai kelab-kelab besar. Takfeusa Kubo memulakan tsunami pemain Jepun ke Eropah dengan menyertai gergasi La Liga, Real Madrid. Hiroki Abe kemudiannya mengikut jejak langkah Kubo disamping beberapa pemain lain seperti Shoya Nakajima, Takehiro Tomiyasu, Kiko Anzai dan Yuma Suzuki.