Bekas pengurus Barcelona, Enrique ‘Quique’ Setien Solar mengakui masalah kewangan luar biasa dihadapi oleh kelab saingan LaLiga itu merupakan perkara yang sudah dijangka akan terjadi.
Baca Juga:
- Barcelona Pecat Quique Setien
- Setien: “Messi Sukar Dikawal, Dia Buat Apa Dia Suka”
- Presiden LaLiga Beri Amaran Kepada Barcelona
Malah, beliau yang dilantik sebagai pengurus pada Januari 2020 bagi menggantikan Ernesto Valverde turut mendedahkan bahawa Barcelona masih berhutang dengannya sehingga ke hari ini.
Isu kewangan melibatkan Barcelona terus menjadi topik perbualan walaupun pada musim ini segalanya tampak berada di landasan terbaik selepas penjualan aset bagi membolehkan pemain baharu didaftarkan.
Namun seperti dilaporkan sebelum ini, Presiden LaLiga, Javier Tebas telah memberikan amaran kepada pasukan tangga kedua itu supaya mengurangkan bebanan terhadap pembayaran gaji pemain kerana sekiranya tidak dilakukan ia akan menjadi masalah untuk menghadapi musim hadapan.
“Barcelona telah mengalami kitaran yang sangat hebat dan pada ketika ini mereka perlu melalui tempoh kesukaran untuk bangkit semula.”
“Saya tidak terkejut dengan keadaan tersebut kerana situasi yang dialami oleh mereka adalah perkara yang memang saya sudah jangka [sejak bersama pasukan],” ujar Setien menurut sumber laporan Goal.
“Mereka masih belum membayar hutang saya. Saya memberitahu kepada mereka dan memberikan mereka masa [untuk menyelesaikan hutang tersebut].”
“Tetapi, mereka lebih memilih untuk menandatangani pemain muda dari Racing Santander sepert Pablo [Torre] dan menguatkan pasukan berbanding membayar hutang,” ujar Setien lagi.
Quique Setien tidak menikmati perjalanan karier pengurusan yang membanggakan di Barcelona selepas beliau dipecat hanya selepas mengendalikan 25 perlawanan bersama kelab tersebut.
Antara perlawanan yang pasti mahu dilupakan olehnya adalah tewas 2-8 ditangan Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah yang mana ia menjadi penyebab beliau kehilangan pekerjaan ekoran kekalahan memalukan itu.