Penganjur Piala Dunia 2022, Qatar dilaporkan mengupah penyokong dari 32 negara yang bertanding untuk bersorak dan mengambil bahagian dalam beberapa acara dalam Kejohanan bola sepak paling berprestij di planet bumi itu.

Baca Juga:

Memetik laporan media antarabangsa daripada AP, 1,600 penyokong pasukan yang layak ke Piala Dunia tahun ini sedang direkrut dan dikatakan bakal menerima penginapan percuma, tiket perlawanan termasuk elaun harian.

Mereka juga perlu menyanyi dalam majlis perasmian dan berada di sana selama sekurang-kurangnya dua minggu serta mempromosikan kandungan positif di media sosial tentang Piala Dunia 2022 dan negara tuan rumah.

Peminat daripada setiap 32 pasukan diperlukan untuk bahagian selama lima minit, bertemakan penyokong dalam majlis itu sebelum Qatar menentang Ecuador dalam perlawanan pembukaan pada 20 November. Mereka akan mempersembahkan nyanyian atau lagu khusus untuk setiap negara, yang dipilih oleh penganjur.

“Kami akan berkongsi dengan anda nyanyian atau lagu yang dipilih dari negara anda untuk memastikan anda terbiasa dengannya,” kata penganjur kepada peminat.

Dalam pada itu, Qatar juga dikatakan sedang mendekati ratusan blogger bola sepak, pempengaruh dan ketua komuniti peminat bola sepak dengan menawarkan mereka sebagai Ketua Peminat.

“Kami ‘tersedak’ apabila diminta mempromosikan mereka dengan menjadi influencer penyokong Perancis dan memasarkan Piala Dunia di Qatar,” kata jurucakap kumpulan penyokong French Irresistibles, Fabien Bonnel.

Difahamkan, ramai kumpulan penyokong pasukan lain telah menolak tawaran itu. Ronan Evain dari rangkaian Football Supporters Europe berpendapat cadangan itu jauh dari budaya peminat sejati.

Setiap ketua peminat akan memilih 30 hingga 50 orang dari setiap negara yang bertanding dijemput ke acara perlawanan pembukaan pada 20 November 2022.

“Mereka akan diterbangkan ke Qatar dan tinggal di sana selama sepuluh hari dengan tiket percuma ke tiga perlawanan peringkat kumpulan pasukan kebangsaan mereka serta dengan bayaran $68 (RM322.90) sehari,” kata Presiden French Irresistibles, Herve Mougin.