Hasrat skuad Harimau Kumbang untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim depan tidak menjadi kenyataan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa pasukan Pulau Pinang secara serta merta dipotong enam mata dalam saingan Liga Premier 2019 menjadikan jumlah mata muktamad mereka adalah 24 mata, jatuh ke tangga ketujuh.

Selepas menewaskan PDRM FA, 2-1 dalam aksi terakhir Liga Premier di Stadium Hang Jebat semalam, Pulau Pinang berjaya menamatkan kedudukan di tangga ketiga berkongsi 30 mata dengan PDRM di tangga keempat, berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan.

Bagaimanapun, hukuman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dikeluarkan selepas Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA bagi menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pemain pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo yang beraksi bersama pasukan Pulau Pinang selama tiga musim dari 2015 hingga 2017.

Justeru itu, PDRM FA dinaikkan pangkat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

“Pada 25 Mac 2019, FIFA telah menghantar keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mengarahkan supaya FAP membayar kepada Reinaldo sebanyak USD90,000 bersama faedah sebanyak 5%.

“FIFA juga telah mengenakan denda tambahan sebanyak USD10,000 kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang telah diarahkan oleh NDRC FIFA. Kegagalan FAP membuat pembayaran tersebut dalam masa 30 hari akan menyebabkan pemotongan mata di dalam liga sebanyak 6 mata.

“Pada 17 April 2019, FAP telah membuat pembayaran berjumlah USD92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Reinaldo. Pembayaran tersebut telah dibuat oleh FAP secara terus kepada Reinaldo tanpa melalui FAM,” kata kenyataan daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Bagaimanapun pada 29 April 2019, peguam Reinaldo telah menghantar surat kepada FIFA yang memaklumkan bahawa telah menerima pembayaran daripada FAP dengan bayaran sebanyak USD92,597.72.

Namun, peguam Reinaldo memaklumkan bahawa pembayaran penuh yang sepatutnya adalah sebanyak USD97,041.83 iaitu baki bayaran sebanyak USD4,444.11 lagi yang perlu dibayar oleh FAP. Salinan surat berkenaan hanya dihantar kepada FAP tanpa ia dihantar kepada FAM, sekaligus FAM tidak menerima sebarang maklumat mengenai hal tunggakan baki bayaran tersebut.

FAM telah melakukan rayuan kepada FIFA sebanyak tiga kali

“Pada 28 Jun 2019, FIFA menghantar surat kepada FAM yang memaklumkan bahawa FAP telah gagal membuat pembayaran dalam tempoh yang telah diberikan. Untuk itu, FIFA menuntut bukti pemotongan 6 mata liga dihantar kepada mereka selewat-lewatnya pada 3 Julai 2019.

“Di sini FAM telah pun membuat rayuan pertama dengan fakta tambahan untuk FIFA pertimbangkan iaitu mengenai berlakunya kekeliruan dalam kadar pertukaran wang asing yang mana FAP merujuk kepada kadar yang termaktub di dalam kontrak pemain manakala FIFA merujuk kepada kadar semasa,” jelas Stuart Ramalingam.

Lobo
Bekas pemain import Pulau Pinang, Reinaldo Lobo.

Seterusnya pada 1 Julai 2019, FAP telah membuat baki bayaran kepada Reinaldo, namun wang tersebut mengambil masa untuk pemprosesan penghantaran ke akaun bank beliau di Brazil.

“Pada 1 Julai 2019 itu juga, peguam Reinaldo telah memaklumkan kepada FIFA bahawa mereka akan memaklumkan baki bayaran tersebut sudah diterima sepenuhnya hanya apabila penghantaran wang tersebut diproses sepenuhnya ke akaun bank Reinaldo dan pada masa yang sama memaklumkan tidak mempunyai halangan sekiranya hukuman FIFA itu ditangguhkan terlebih dahulu.

“Sebagai tindakan susulan, FAM telah menghantar surat rasmi kepada FIFA pada 2 Julai 2019 untuk meminta pandangan mereka serta status permohonan daripada Reinaldo sama ada hukuman tersebut boleh ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian penerimaan baki pembayaran itu.

“Pada 3 Julai 2019 iaitu tarikh sepatutnya hukuman potongan mata itu dibuat, peguam Reinaldo memaklumkan bahawa baki bayaran tersebut masih dalam proses perpindahan di dalam akaun pengadu dan tidak mempunyai halangan supaya hukuman tersebut ditangguhkan terlebih dahulu.

“Hari berikutnya iaitu pada 4 Julai 2019, FAM sekali lagi telah menghantar surat rayuan kedua kepada FIFA supaya meneliti semula hukuman yang diberikan disebabkan pembayaran tersebut telah dibuat sepenuhnya dan dengan mengambil kira langkah-langkah proaktif yang telah diberikan oleh FAP dalam menyelesaikan baki tunggakan tersebut.

“Pada 10 Julai 2019, peguam Reinaldo juga telah memberi pengesahan bahawa bayaran tersebut tersebut sudah pun diselesaikan sepenuhnya dan memohon supaya kes ini ditutup dan tindakan tatatertib terhadap FAP dibatalkan.

“Namun pada 17 Julai 2019, FAM telah menerima surat daripada FIFA yang memaklumkan bahawa hukuman pemotongan enam mata terhadap FAP itu perlu dibuat selewat-lewatnya sebelum 22 Julai 2019 kerana walaupun pembayaran telah diselesaikan sepenuhnya akan tetapi FAP telah melanggar perintah FIFA yang mengarahkan pembayaran penuh perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan asal. FAM sekali lagi pada 18 Julai 2019 telah pun membuat rayuan ketiga kepada FIFA.

“Tetapi hari ini, hari terakhir untuk membuat potongan mata seperti diarah oleh FIFA dan dengan rayuannya didapati masih tidak diterima FIFA, FAM pada hari ini terpaksa juga memajukan surat arahan daripada FIFA tersebut kepada Malaysian Football League (MFL) untuk badan pengendali Liga Malaysia itu mengeluarkan surat rasmi pemotongan enam mata kepada pasukan Pulau Pinang dalam saingan Liga Premier 2019.

“Meskipun FAM telah mengemukakan tiga rayuan kepada FIFA, FAM sedikit kesal kerana FIFA tetap bertegas mahu hukuman pemotongan mata itu dilakukan sedangkan FAP sudah menyelesaikan bayarannya yang mana disebabkan prosedur kadar tukaran mata wang asing dan proses pemindahan wang ke akaun luar negara menyebabkan berlaku sedikit kelewatan,” jelas kenyataan tersebut.

Hukuman FIFA berpunca daripada kesilapan pengurusan FAP

Dalam hal ini, FAM amat bersimpati dengan FAP dan pada masa sama tetap menghargai usaha yang dilakukan oleh pengurusan baharu FAP untuk cuba menyelesaikan juga kes lama ini dengan berjaya membayar sebanyak USD97,085.05 yang membabitkan tunggakan gaji akibat kecuaian pengurusan lama mengurus kes bekas pemain importnya itu.

Namun hanya akibat sedikit kesilapan dalam menyemak kadar tukaran mata wang asing mengikut kadar semasa dan kelewatan proses menyelesaikan baki tuntutan sebanyak USD4,444.11, mereka telah menerima hukuman daripada FIFA ini.

Ahli Gabungan
Sumber Gambar: FAM

Dengan apa yang berlaku ini, sama juga seperti apa yang dialami Kelantan apabila dipotong tiga mata pada 11 April 2019, FAM sekali lagi ingin menasihat dan memberi peringatan kepada ahli-ahli gabungan yang lain supaya jangan sesekali mengambil mudah arahan berkaitan hukuman yang telah dijatuhkan oleh FIFA atau AFC.

Ini kerana, kesan dan akibatnya nanti terpaksa ditanggung oleh pasukan masing-masing apabila pemotongan mata terpaksa dilakukan, sekali gus menjejaskan kedudukan pasukan dalam saingan liga.

Kali terakhir Pulau Pinang beraksi dalam saingan Liga Super adalah pada tahun 2017 namun tersingkir ke divisyen kedua apabila menamatkan saingan di tempat tercorot dalam kalangan 12 pasukan.

Sumber