Skuad TRW Kelantan memulakan aksi pemanas badan untuk musim 2023 dengan kekalahan besar apabila dibelasah 7-0 menentang juara bertahan Thai League 1, Buriram United sempena aksi ASEAN Charity Shield 2023 di Songkhla, Thailand.
Lebih menarik, ini adalah penampilan pertama pemain pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools bersama Buriram United sejak diumumkan menyertai pasukan tersebut pada 3 Januari lepas.
Buriram juga turut menurunkan dua pemain skuad kebangsaan Thailand iaitu Supachai Jaided dan Suphanat Mueanta untuk diuji keserasian bersama beberapa pemain import baharu.
Terdapat jurang kualiti yang jauh di antara kedua-dua pasukan dan Buriram terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi rembatan Suphanat Mueanta seawal minit ke 8.
5 minit kemudian, Jonathan Bolingi menambah gol kedua untuk Buriram United sebelum Suphacai Jaided memperdayakan benteng pertahanan TRW Kelantan sekaligus merembat masuk gol ketiga pada minit ke 17.
TRW Kelantan yang dibimbing oleh jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon Sik jelas tidak mampu menandingi kehebatan barisan pemain berkualiti Buriram United dan tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh jentera serangan pasukan itu.
5 minit sebelum tamat separuh masa pertama, Suphanat Mueanta kembali menambah satu lagi gol menerusi rembatan voli dalam kawasan kotak penalti sekaligus menjadikan kedudukan berubah kepada 4-0.
Asean Charity Shield 2023
HT: Buriram United 4-0 Kelantan FC#preseason #theredwarriors pic.twitter.com/8VtRsHfptK
— Flash Sukan (@FlashSukan) January 15, 2023
Memasuki separuh masa kedua, Buriram United terus garang mengandakan asakan dan kali ini mereka menjaringkan gol ke 5 melalui penyerang import Slovenia, Haris Vuckic.
Pemain tengah import dari Serbia, Goran Causic turut mengambil kesempatan terhadap kelekaan benteng pertahanan TRW Kelantan dengan melakukan rembatan dari luar kotak penalti untuk gol ke 6.
1 minit sebelum tamat perlawanan, pemain pertahanan Thailand, Narubadin menanduk masuk gol ke 7 hasil hantaran sepakan sudut daripada Dion Cools sekaligus memastikan kemenangan berpihak kepada Buriram United.