Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino dilihat cukup menitikberatkan segala aspek dalam fasa awal beliau mengepalai The Blues.

Baca Juga:

Mengambil alih tugasan ketika Chelsea sedang dilanda badai pada musim 2022/23, Pochettino jelas berdepan tugas sukar untuk mengembalikan keyakinan para penyokong terhadap kelab tersebut.

Sehubungan dengan itu, beliau pasti memiliki acuan tersendiri dalam hal tata kelola pasukan bagi meningkatkan kembali reputasi yang tercalar tersebut.

Antara perkara yang dilakukan pengendali kelahiran Argentina itu ialah dalam meletakkan ‘jurang’ antara pemilik kelab, Todd Boehly dengan pasukan sekali gus bagi memupuk budaya lebih baik buat Chelsea.

Hal ini kerana pada musim lalu, Boehly bersama Behdad Eghbali dan Ahli Lembaga Pengarah yang lain kelihatan cukup aktif meninjau sesi latihan di Cobham serta memasuki bilik persalinan ketika perlawanan terutamanya di Stamford Bridge.

Melihatkan kepada keadaan tersebut, Pochettino telah menggariskan ketetapan bahawa pemilik serta pengurusan tertinggi perlu memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu sekiranya mahu bertemu dengan para pemain di Cobham mahupun bilik persalinan.

“Sudah tentu bagi saya, lebih dialu-alukan jika pemilik datang ke bilik persalinan, ke padang latihan tetapi seperti saya katakan, sentiasa mereka perlu berkomunikasi dengan saya sendiri.”

“Saya perlu tahu dan untuk bersedia, anda tahu, perkara seperti ini ia benar-benar istimewa di England,” ujar Pochettino menurut laporan Evening Standard.

“Mungkin di negara lain ia berbeza, tetapi di sini beginilah caranya. Ketua jurulatih atau pengurus mempunyai pengaruh dalam semua kelab bola sepak buat para peminat.”

“Begitu juga buat peminat, pemain, kakitangan, peminat dan juga untuk media, sudah tentu sama sekali kita perlu mencipta jurang sebegini.”

“Kami berada di sana untuk membimbing semua orang yang terlibat dalam kelab bola sepak ini, untuk cuba mencipta prestasi terbaik, bekerja serta beraksi dengan cara yang terbaik.”

“Bagi saya, saya lebih gembira jika mereka rapat dengan kita. Mereka adalah pemilik tetapi jurulatih, ketua jurulatih atau pengurus yang memutuskan perkara-perkara tertentu.”

“Bagaimana ia akan berfungi di bilik persalinan, di padang serta padang latihan. Begitu juga dengan Pengarah Sukan, sama sekali kita akan mencipta garis pemisah ini,” tambah Pochettino lagi.