Pasukan PKNS FC dan Pahang berazam untuk membuat comeback sepertimana yang dilakukan oleh Liverpool dan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menghadapi perlawanan suku akhir kedua Piala FA 2019 malam ini.

PKNS FC tewas kepada Kedah dengan keputusan 3-1 manakala Pahang turut mengalami nasib yang sama apabila tunduk dengan keputusan 2-1 ketika bertemu pasukan Terengganu FC pada perlawanan separuh akhir pertama. Kedua-dua pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin (PKNS FC) dan Datuk Mohammed Suffian Awang (Pahang) berkata tidak mustahil pasukan mereka untuk bangkit daripada ketinggalan.

“Bermain di Alor Setar sudah pasti sukar disebabkan Kedah sememangnya menjadi pasukan pilihan. Pasukan sememangnya dalam keadaan bersemangat untuk menebus kekalahan tempoh hari. Dengan melihat kebangkitan Liverpool, ini sedikit sebanyak membakar lagi semangat pasukan namun semuanya tetap bergantung kepada pemain di atas padang.

“Kita sudah maklumkan kepada pemain supaya menguatkan mental dan percaya pada kemampuan diri sendiri,” kata Mahfizul menurut laporan Berita Harian.

Dato Mohamed Suffian
Sumber Gambar: BH

Datuk Mohammed Suffian pula berkata tiada apa yang mustahil dan beliau menggesa pemain agar menampilkan disiplin yang tinggi.

“Kita boleh saksikan kebangkitan Liverpool yang melakukan kejutan untuk menewaskan Barcalona biarpun tewas 0-3 pada aksi pertama tetapi mereka bangkit untuk layak ke pentas final Liga Juara-Juara Eropah.

“Oleh itu semua pemain perlu mempamerkan displin tinggi dan mengikut arahan jurulatih (Dollah Salleh) untuk mempertahankan Piala FA yang diraih musim lalu,” katanya.