Pemain tengah Kelantan United, Mohd Badhri Radzi atau yang lebih mesra dipanggil Piya tidak kisah memulakan kembali kariernya bersama kelab amatur itu dalam saingan Liga M3 selepas mengharungi banyak pengalaman pahit pada musim 2019.

Jelas bekas kapten pasukan Kelantan itu, dia ingin melupakan detik hitam sewaktu menandatangani kontrak beraksi bersama Perlis pada awal musim sebelum pasukan itu “terkubur” awal selain turut berdepan konflik bersama Kelantan FA pula pada pertengahan musim.

Kini, Piya selesa beraksi bersama Kelantan United yang kini dibimbing oleh Zahasmi Ismail dan aksi pertamanya ketika menentang Penjara FC juga tidak mengecewakan apabila membantu pasukan menang dengan keputusan 4-1 pada Ahad lalu.

Piya
Sumber Gambar: Kelantan United

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua pihak pengurusan Kelantan United kerana sudi untuk terima lagi khidmat saya walaupun sudah macam-macam yang saya hadapi sebelum ini.

“Saya tidak nafikan suatu ketika dahulu saya pernah berada di atas dan sekarang saya tidak kisah untuk mula daripada bawah walaupun kita sedar banyak kerja rumah perlu dilakukan untuk bawa Kelantan United di satu tahap yang lebih tinggi.

“Walau apa pun, saya ingin fokus betul-betul kepada pasukan ini dalam pastikan misi menjuarai Liga M3 tercapai kerana kita hanya ketinggalan satu mata sahaja dengan Kuching FA ketika ini”, jelasnya.

Melihat kepada usianya yang kian meningkat, Piya menjangkakan dia hanya akan beraksi dalam tempoh dua tahun sahaja lagi dan apa yang menjadi misi utamanya adalah mengembalikan aura bola sepak di negeri itu yang kian pudar selepas pelbagai konflik melanda Kelantan FA sekaligus ingin buktikan saingan di Liga M3 juga bukan calang-calang.

Inisiatif daripada Malaysian Football League, (MFL) dan Amateur Football League, (AFL) yang sentiasa berusaha membantu saingan di Liga M3 berjalan lancar dan kompetitif juga harus dipuji kerana Piya merasakan aura daripada penyokong semakin hebat terhadap liga ini.

Badhri Radzi
Sumber Gambar: Kelantan United

“Makin lama saya tengok penyokong-penyokong sudah mula menunjukkan minat mereka untuk datang saksikan perlawanan dan persepsi terhadap Liga M3 ini juga begitu positif.

“Sewaktu aksi menentang Penjara FC tempoh hari pun, saya terkejut tengok kehadiran penyokong yang saya boleh anggap luar biasa dalam liga ini dan harap ia tidak terhenti sampai situ sahaja untuk kami sebagai pemain terus beraksi cemerlang musim ini dan musim akan datang”, jelasnya.

Sebagai rekod,aksi Penjara dan Kelantan United di Stadium Mini Penjara Kajang mencatatkan kira-kira kehadiran 1,050 penonton, antara jumlah tertinggi dalam saingan Liga M3.