Pemain pertahanan tengah Barcelona, Gerard Pique melihat pemergian Lionel Messi tidak langsung merentap semangat juang rakan sepasukannya dalam memburu semua piala dipertandingkan pada musim baharu.
Sebagai antara pemain yang bersetuju untuk memotong gaji bagi membolehkan pemain baharu Barcelona didaftarkan, Pique merasakan The Blaugrana akan lebih menghiburkan di sebalik kehilangan besar tersebut.
Keyakinan disuarakan Pique itu ada asasnya berikutan permulaan baik ditampilkan skuad kendalian Ronald Koeman tersebut berjaya menundukkan Real Sociedad 4-2 pada aksi yang berlangsung di Nou Camp.
Pemain berusia 34 tahun itu sendiri menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19 dan Martin Braithwaite menambah dua gol pada setiap babak manakala Sergi Roberto menutup akaun jaringan pada lewat aksi babak kedua.
“Saya tidak perlu untuk menjelaskan apa yang telah ditunjukkan oleh Leo [Lionel Messi]. kami semua mengetahuinya.”
“Dia merupakan pemain yang paling penting dalam sejarah kelab ini dan juga bola sepak dunia. Tetapi semua perkara akan berlalu, kami perlu untuk terus berjalan dan memandang ke hadapan,” ujar Pique menurut laporan ESPN.
“Saya tahu kami berada di tahap terbaik, kami akan menjadi sangat kompetitif. Saya yakin kami akan bersaing untuk merebut kesemua trofi sehingga ke akhirnya.”
“Memang benar bahawa ketiadaan Leo di sini bermakna kami tidak memiliki bakat yang sebelum ini kami nikmati. Tetapi pasukan ini telah menunjukkan kami semua bersatu.”
“Di bahagian hadapan kami mempunyai penjaring dan di bahagian belakang [pertahanan], kecuali kesilapan dan jaringan sepakan percuma daripada Real Sociedad, kami adalah sangat baik,” tambah Pique lagi.
Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.
Gerard Pique Dedahkan Bukan Beliau Sahaja Bersetuju Untuk Potong Gaji
Jumlah Gaji Yang Perlu Dibayar Oleh JDT Jika Dapatkan Khidmat Radamel Falcao
Kelab Divisyen 2 Indonesia Bakal Menentang Fenerbahce Di Turki