Juara Piala Malaysia empat kali, Pahang mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan kumpulan C, selepas menewaskan naib juara Piala FA 2019, Perak 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Tok Gajah unggul di kedudukan teratas dengan enam mata, selepas dua perlawanan dan memerlukan dua lagi kemenangan untuk mengesahkan tiket ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.
Dalam perlawanan itu, tiga gol Pahang dijaringkan oleh pemain import mereka iaitu Herold Goulon, Saddil Ramdani dan Lazarus Kaimbi. Kemenangan itu juga mengekalkan rekod tanpa kalah tok gajah di halaman sendiri.
Bagaimanapun, skuad kendalian Dollah Salleh itu menunggu sehingga minit ke 40 untuk membuka akaun jaringan melalui tandukan Herold Goulon hasil sepakan percuma daripada Nor Azam Azih lalu menceriakan penyokong tuan rumah.
40' | GOL HEROLD GOULON@OfficialPahang
Herold Goulon menanduk masuk gol pertama Pahang selepas menerima hantaran berkualiti Azam Azih!#PialaMalaysia2019 #MFLLive #PHGPRK pic.twitter.com/48DoB9P4mB
— MFL LIVE (@MFL_Live) August 8, 2019
Perlawanan tersebut turut menyaksikan jersi ketua pasukan Pahang, Matthew Davies, terkoyak manakala Brendan Gan mengutip kad kuning akibat kekasaran ke atas penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias, sebelum menutup separuh masa pertama.
Kedua-dua pasukan lebih berhati-hati sementara hujan mulai turun sejak awal separuh masa kedua. Perak kemudian memasukkan Shahrel Fikri Md Fauzi untuk menggantikan Partiban bagi menambah sengat di jentera serangan.
10 minit kemudian, Stadium Darul Makmur kembali bergegar dengan sorakan penyokong apabila pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani menyempurnakan umpanan Mohamadou Sumareh untuk menjadikan kedudukan kepada 2-0.
68' | GOL SADDIL RAMDANI!
Saddil Ramdani mudah menolak masuk hantaran Mohamadou Sumareh ke gawang yang kosong untuk menggandakan kelebihan @OfficialPahang di Kuantan!#PialaMalaysia2019#MFLLive #PHGPRK pic.twitter.com/ZVSDa4yUUk
— MFL LIVE (@MFL_Live) August 8, 2019
Perak cuba bangkit tetapi jentera serangan mereka kelihatan sukar untuk menembusi kekebalan benteng pertahanan tuan rumah ditambah pula dengan aksi cemerlang penjaga gol Pahang, Helmi Eliza yang beberapa kali menepis percubaan berbahaya Shahrel Fikri.
Pada minit ke 81, Lazarus Kaimbi mematikan semangat pemain Perak untuk mencari jaringan penyamaan apabila menjaringkan gol ketiga menerusi percubaan solo yang mudah menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim.
81' | GOL LAZARUS!
Lazarus Kaimbi memulakan pergerakan beliau dari tengah padang dan berjaya memperdayakan Hafizul Hakim untuk menjaringkan gol ketiga @OfficialPahang malam ini.#PialaMalaysia2019#MFLLive#PHGPRK pic.twitter.com/4SnUqt1oBA
— MFL LIVE (@MFL_Live) August 8, 2019
Selepas ini, skuad Tok Gajah akan menentang pasukan Sabah di Stadium Likas pada 17 Ogos ini untuk aksi ketiga peringkat kumpulan Piala Malaysia manakala Perak dijadualkan menentang Pulau Pinang. Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.