Skuad gergasi merah mendapat semangat tambahan apabila ayam tambatan mereka, Faiz Nasir bakal diturunkan untuk perlawanan Piala Malaysia menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat pada malam ini.

Pengendali skuad itu, B. Satiananthan menyifatkan kehadiran semula pemain itu mampu membantu menajamkan jentera serangan selepas mereka gagal mengutip tiga mata penuh ketika menentang FELDA United pada aksi pertama peringkat kumpulan.

“Saya sememangnya kecewa tidak dapat membawa pulang tiga mata namun ia lebih baik daripada tewas ketika menentang FELDA United sebelum ini. Pemain perlu fokus dan lebih berdisplin ketika menentang Melaka kerana mereka mempunyai barisan pemain berpengalaman terutama perlu berhati-hati dengan Safiq Rahim dan Shukor Adan,” katanya dalam Arena Metro.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: FAM

Beliau juga dijangka akan melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama selepas ketiadaan pemain tengah, Halim Saari yang mengalami masalah kesihatan.

“Abdul Halim Saari tidak boleh beraksi di Stadium Hang Jebat berikutan mengalami masalah kesihatan. Kita sudah ada penggantinya dan berharap pemain tidak mudah putus asa dan memberikan komitmen tinggi pada perlawanan terbabit,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan menentang Melaka, Satiananthan turut memberi amaran kepada pemainnya agar tidak memandang mudah pada lawan yang berdepan pelbagai masalah dalaman seperti tunggakan gaji.

Kemahiran
Sumber Gambar: FA Selangor

“Dengan Melaka, kalau kami amalkan seperti apa yang dilakukan dalam perlawanan pertama, kami mungkin kena belasah dengan mereka. Mereka adalah pasukan yang baik.

“Kita dapat lihat, ketika mereka dengan Polis (PDRM), penguasaan mereka dalam babak kedua memang jauh lebih baik. Mereka adalah pasukan kuat, walaupun dikatakan banyak masalah, di atas padang mereka tidak nampak seperti itu.

“Saya harap pemain kami tidak mengambil mudah,” katanya.