Perak mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.

Berdepan lawan yang dilihat mempunyai reputasi lebih baik pada musim ini, Perak jelas tampil dengan cukup berbeza dengan kehadiran lima pemain import di kesebelasan utama.

Malah, ia merupakan kemenangan pertama Perak ke atas lawan tersebut pada tiga pertembungan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan pada musim ini.

Kedah bagaimanapun terlebih dahulu hanya memerlukan 30 saat sahaja untuk membuka tirai jaringan selepas sepakan penjuru Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin ditanduk masuk ketua pasukan, Manuel Ott yang tidak dikawal pertahanan Perak.

Tersentak dengan jaringan pantas tersebut, anak-anak buah Yusri Che Lah tampil dengan lebih baik bagi mengawal permainan serta mencipta beberapa peluang ke arah pintu gol Kedah yang dikawal Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Peluang pertama Perak hadir pada minit ke-10 menerusi sepakan percuma Luciano Guaycochea tetapi Kalamullah lebih bersedia untuk menepis keluar percubaan tersebut.

Kalamullah terus cemerlang berselang lima minit kemudian selepas beliau menangkap kemas percubaan Seo Seonung dalam kawasan penalti yang menerima umpanan Luka Milunovic.

Memasuki minit ke-27, rembatan jarak jauh hampir menceriakan penyokong Perak tetapi percubaan itu sekadar singgah di palang gol ketika Kalamullah sudah pun tertewas.

Tidak mahu terus tenggelam dek serangan pasukan tuan rumah, Kedah cuba untuk mengancam gawang Perak dan mereka mendapat peluang pada minit ke-31 menerusi Ifedayo Olusegun.

Ifedayo yang melakukan gerakan solo dalam kawasan penalti dan kemudiannya melepaskan rembatan tetapi penjaga gol Perak, T. Shaheeswaran menafikan percubaan tersebut.

Jaringan penyamaan dinantikan Perak hadir pada minit ke-47 apabila Luciano berjaya menyempurnakan sepakan penalti walaupun Kalamullah sudah membaca arah sepakan tersebut.

Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal berikutan bola terkena tangan Bojan Ciger ketika beliau cuba untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Mendapat tonik berguna berikutan jaringan tersebut, Perak menambah gol kedua hasil tolakan leret Luka Milunovic setelah menerima ‘cutback’ daripada Firdaus Saiyadi bagi meletakkan tuan rumah dihadapan.

Kedah terus dirundung malang pada minit ke-61 apabila pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie dilayangkan kad merah kerana menyepak muka Seo Seonung.

Skuad kendalian Nafuzi Zain itu hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-66, namun percubaan jarak dekat oleh Ifedayo terkena tiang gol ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti.

Hakimi Isa mematikan api perjuangan pasukan pelawat pada minit ke-87 apabila lariannya setelah menerima umpanan cantik Luciano disudahkan pemain muda itu denhan tenang untuk memastikan kelebihan dua gol dimiliki Perak.