Perlawanan pusingan pertama TM Piala Malaysia 2020 diantara Kedah menentang Pahang pada hari jumaat ini bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.
Jika perlawanan epik separuh akhir saingan PialaMalaysia tahun lepas menjadi bualan peminat, takdir menemukan semula dua pasukan yang pernah mencatat sejarah dengan agregat 8-8, kali ini aturan pertembungan seperti tidak sabar melihat 2 pasukan gergasi ini bertemu lebih awal.
Namun begitu, skuad Tok Gajah kali ini terpaksa turun tanpa kelibat tonggak import dari Filipina, Adam Reed yang belum pulih daripada kecederaan pangkal peha.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh berharap dapat membarisi pemain terbaik selepas beberapa tonggak utama dilanda kecederaan selain pelbagai isu seperti kontroversi perpindahan bekas penyerang Mohamadou Sumareh.
“Semua pasukan saya anggap ada kekuatan seimbang bila melibatkan saingan Piala Malaysia. Apa yang penting bagi saya hanyalah pasukan Pahang. Tumpuan saya adalah pada barisan pemain selepas macam-macam isu timbul yang mengganggu persiapan kita.
“Jika saya dapat kesebelasan pemain terbaik saya tidak khuatir untuk bertemu Kedah, kita sudah tahu kelemahan dan kekuatan masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Menurut Dollah, kemenangan tipis 2-1 Pahang ke atas Kedah dalam saingan Liga Super musim ini juga tidak boleh dijadukan ukuran kerana suasana saingan kalah mati adalah berbeza dan lawan pasti akan bermain mati-matian.
“Cuma pada malam penentuan, pasukan mana yang memberikan terbaik dan paling kurang melakukan kesilapan, kemenangan akan berpihak kepada mereka. Saya harap nasib juga akan berpihak kepada Pahang,” katanya.
Pahang muncul juara Piala Malaysia empat kali dan kali terakhir menjuarainya pada edisi 2014 sementara Kedah turut memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali dengan kali terakhir pada musim 2016.
Baca artikel lain mengenai perkembangan terkini bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Kedah Lakukan Penstrukturan Semula, Gaji Pemain Mungkin Dikurangkan Musim Depan