Pendatang baharu Liga Super 2020, Sabah bakal menguji kekuatan dalam kejohanan jemputan, Piala Gabenor Jawa Timur (Jatim) di Surabaya, Indonesia pada 8 hingga 20 Februari.

Selain Sabah, 7 kelab dari Liga Indonesia turut bertanding dalam kejohanan tersebut iaitu Madura United, Persebaya Surabaya, Persik Kediri, Bhayangkara FC, Arema, Persela Lamongan dan Persija Jakarta.

8 pasukan ini diundi dalam kumpulan A dan B. Dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan ini akan layak ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir merebut gelaran juara Piala Gabenor Jatim 2020.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony menjelaskan pihaknya tidak meletak sebarang sasaran dalam kejohanan itu sebaliknya ia akan menjadi medan untuk menguji keserasian pemain.

“Pasukan Sabah di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Baharu Kurniawan Dwi Yulianto tidak menetapkan sasaran pada penyertaan di pertandingan itu (PIala Gabenor Jawa Timur) dan pada masa sama mengelak pemain daripada mengalami kecederaan.

“Ini penting agar persiapan pasukan Sabah pada Liga Super tidak terjejas dan pada masa sama kombinasi antara pemain dipertingkatkan,” katanya dalam Bernama.

IMG-20200129-WA0027-735×400
FOTO: BeritaSabah.com

Peter juga memberitahu bahawa persiapan pasukan di bawah bimbingan ketua jurulatih baru dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto berjalan lancar dan beliau gembira dengan perkembangan prestasi pemain.

“Persiapan kita termasuklah mengadakan dua perlawanan persahabatan di Filipina baru-baru ini di mana kita menang 2-0 ke atas Kaya FC dan menang 2-1 ke atas Stalion FC.

“Perlawanan ini adalah antara pemanas badan sebelum cabaran Liga Super di mana Sabah akan memulakan aksi menentang PDRM (Polis Diraja Malaysia) di tempat lawan pada 1 Mac,” kata Peter.

26 pemain sudah disenaraikan dan Sabah dijangka akan melengkapkan senarai 27 pemain yang akan didaftarkan untuk saingan Liga Malaysia.

Baki satu kekosongan itu bakal diisi dengan pemain import bagi melengkapkan kuota lima import yang dibenarkan mewakili skuad Liga Super.

Empat import dalam skuad Sabah sekarang termasuklah dua muka baharu iaitu Hector Omar Ramos Lebron dari Puerto Rico dan Dennis Buschening dari Thailand manakala dua lagi adalah Park Tae Su (Korea Selatan) dan Rodoljub Paunovic (Serbia) yang dikekalkan dari skuad musim lalu.

Piala Gabernor Jatim 2020

Kumpulan A:
Madura United (tuan rumah)
Persebaya Surabaya
Persik Kediri
Bhayangkara FC

Kumpulan B:
Arema (tuan rumah)
Persela Lamongan
Persija Jakarta
Sabah FA

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Sabah melalui pautan dibawah.

Sabah Berminat Dapatkan Khidmat Irfan Bachdim

Kurniawan Dwi Yulianto Ingin Bawa Osvaldo Haay Ke Sabah FA

Sabah Raih Kemenangan Pertama Dalam Jelajah Pra Musim Di Filipina