Malaysia berdepan tugas sukar dalam kempen Piala Asia Bola Sepak Pantai 2023 yang bakal berlangsung di Jomtien Beach Arena, Pattaya Thailand bermula 16 hingga 26 Mac nanti.

Baca Juga:

Bakal membuat penampilan bagi edisi ketiga berturut-turut, skuad negara kendalian Mohd Saiful Md Noor itu telah diundi berada dalam satu kumpulan dengan pasukan ranking ke-11 dunia yang turut beraksi pada Piala Dunia Bola Sepak Pantai 2021 iaitu Emiriah Arab Bersatu.

Selain itu, negara di ranking ke-12 dunia, Iran turut bakal menjadi masalah besar buat skuad negara manakala Uzbekistan melengkapkan kumpulan B.

Bukan mahu menidakkan keupayaan barisan pemain yang bakal menggalas tanggungawab negara, bagaimanapun penilaian di atas kertas memperlihatkan cabaran getir bakal menanti mereka nanti.

Hakikat itu turut diakui sendiri pemain yang mewakili skuad negara dalam saingan edisi 2017 dan 2019, Mohd Ridhwan Zainal.

Ridhwan Zainal ketika beraksi dalam Piala Asia Bola Sepak Pantai 2017 di Terengganu. Kredit Foto: Aidir Photography

“Berdasarkan undian yang dapat kita saksikan pada hari ini, jelas sekali Malaysia berada dalam kumpulan maut apabila perlu berhadapan dengan dua pasukan hebat iaitu UAE dan Iran.”

“Iran sebuah pasukan yang hebat. Saya sendiri pernah bertemu dengan mereka dan tewas dengan jurang besar pada kejohanan tahun 2017 di Pantai Batu Buruk, Terengganu,” ujar Ridhwan ketika dihubungi wakil Vocket FC.

“Dalam kumpulan ini, UAE juga pasukan yang cukup mantap kerana mereka beraksi dalam kancah Piala Dunia 2021 di Rusia.”

“Walaupun nampak sukar tetapi ia tidak langsung meruntuhkan semangat saya sekiranya masih diberikan peluang untuk sekali lagi membawa nama negara pada kali ini.”

“Apa jua yang terjadi para pemain yang terpilih pastinya akan berdepan dengan mana-mana pasukan tanpa rasa gentar sehingga ke wisel penamat,” tambah Ridhwan Zainal lagi.

Berikut adalah senarai penuh kumpulan bagi Piala Asia Bola Sepak Pantai 2023:

Kumpulan A: Thailand, Bahrain, Afghanistan, Arab Saudi
Kumpulan B: UAE, Iran, Malaysia, Uzbekistan
Kumpulan C: Japun, Lebanon, China PR, Indonesia
Kumpulan D: Oman, Palestine, Kuwait, Kyrgyz Republic