Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menegaskan pasukannya akan mencuba sedaya-upaya untuk melepasi saingan peringkat kumpulan sekaligus mara ke peringkat 16 pasukan terakhir temasya Piala Asia 2024.

Baca Juga:

Dalam satu temu bual baru-baru ini, Pan-gon menyatakan layak ke peringkat 16 pasukan terakhir di Piala Asia akan menjadi satu perkara indah bagi bola sepak Malaysia.

“Itu akan menjadi perkara yang bagus sekiranya Malaysia menduduki 16 pasukan terbaik di Asia. Kita perlu berusaha untuk melangkah ke arah itu.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: FAM

“Tetapi, dalam jangka masa yang pendek, sekiranya kita letakkan terlalu banyak sasaran, ianya tidak bagus. Pemain dan jurulatih akan berasa letih.

“Kami akan cuba sedaya-upaya untuk mara ke peringkat 16 pasukan terakhir. Itu akan menjadi satu perkara indah dan rakyat Malaysia juga akan berbangga dengan pencapaian itu. Kami akan cuba,” kata Kim Pan-gon.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkongsi impian beliau untuk Malaysia yang akan beraksi dalam temasya Piala Asia 2024.

Datuk Hamidin menegaskan beliau berharap Malaysia dapat melayakkan diri ke peringkat 16 pasukan terakhir ketika temasya Piala Asia 2024 untuk menjadi antara pesaing bagi merebut tiket ke temasya yang lebih besar iaitu Piala Dunia.

Kim Pan-gon
Sumber Gambar: FAM

“Ketika ini pasukan kita berada di ranking ke-25 di Asia ketika ini. Pada September dan Oktober akan bermula kelayakan bagi Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico serta Piala Asia 2027 di Arab Saudi dimana format akan sedikit berbeza. Isu di sini, slot untuk Asia pada Piala Dunia akan datang ialah 8+1. Jadi 9 negara dari 47 negara di Asia berpeluang untuk mara ke temasya itu.

“Jika kita ambil kira dari sudut matematik, saya sasarkan dalam dua atau tiga tahun kita akan berada di kalangan 15 pasukan terbaik Asia. Sekiranya kita berada di tahap tersebut, barulah kita boleh hidu peluang untuk layak ke Piala Dunia. Kalau kita lihat nanti di Piala Asia di Doha, kita berada di pot terakhir namun kita berada di kalangan pasukan terbaik Asia.

“Sudah tentu pasukan dari pot 1 adalah laluan yang sukar untuk kita. Tetapi untuk pot 2 dan 3, mungkin kita boleh bersaing. Pentingnya temasya di Doha nanti kita mesti membawa mata. Sasaran kita kalau dapat masuk 16 pasukan terbaik, itu adalah satu pencapaian yang terbaik,” katanya.