Majlis undian Piala Asia 2023 yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan Malaysia telah diletakkan dalam kumpulan E bersama juara dua kali kejohanan, Korea Selatan.

Selain pasukan tangga ke-27 ranking dunia itu, skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan menghadapi cabaran daripada Bahrain dan Jordan.

Kali terakhir skuad negara bertemu Jordan adalah pada 7 Oktober 2021 yang menyaksikan mereka tunduk 0-4 dalam aksi persahabatan diadakan di Stadium King Abdullah II, Amman.

Sementara itu, Bahrain pula lawan yang biasa ditemui skuad negara dimana pertemuan  terakhir melibatkan kedua-dua pasukan adalah pada pusingan kelayakan Piala Asia di Bukit Jalil.

Pertemuan pada 11 Jun itu menyaksikan Mohamadou Sumareh membuka tirai jaringan ketika aksi memasuki minit ke-55 tetapi Ali Haram menyamakan kedudukan berselang dua minit kemudian dan Abdulla Yusuf Helal menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti di minit ke-81.

Piala Asia akan bermula pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024 di  Qatar yang melibatkan lapan stadium terpilih  dengan enam daripadanya pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Antara stadium yang dipilih ialah Stadium Al Janoub, Stadium Al Bayt, Stadium Ahmed Ali, Stadium Al Thumama, Stadium Kota Pendidikan dan Stadium Antarabangsa Khalifa manakala turut melibatkan Stadium Jassim Hamad dan Stadium Abdullah Khalifa.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Piala Asia ialah tempat ketiga Kumpulan B di Kuwait pada 1980 dan kali terakhir skuad negara beraksi di Piala Asia ialah pada tahun 2007 dimana  ketika bergelar tuan rumah.

Jepun merupakan juara terbanyak dalam sejarah Piala Asia apabila memenangi pada edisi 1992, 2000, 2004 dan 2011 manakala Arab Saudi dan Iran berkongsi tiga kejuaraan.

Sementara itu, Qatar merupakan juara bertahan (2019) selepas menundukkan Jepun 3-1 pada aksi final di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berikut merupakan keputusan penuh undian Piala Asia 2023 sebentar tadi:

Kumpulan A: Qatar, China, Tajikistan, Lebanon

Kumpulan B: Australia, Uzbekistan, Syria, India

Kumpulan C: Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hong Kong, Palestin

Kumpulan D:  Jepun, Indonesia, Iraq, Vietnam

Kumpulan E:  Korea Selatan, Malaysia, Jordan, Bahrain

Kumpulan F: Arab Saudi, Thailand, Krgyz Republic, Oman