Ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon tanpa berselindung mengakui mahu melihat anak buahnya beraksi dengan baik untuk mara ke pusingan kalah mati (pusingan 16) dalam kempen Piala Asia 2023.
Baca Juga:
- Kim Pan Gon Gembira Dengan Prestasi Harimau Malaya
- Perlawanan Persahabatan: Malaysia Cukup Bernafsu Belasah Papua New Guinea
- Perlawanan Persahabatan: Malaysia Tiada Masalah Atasi Kepulauan Solomon
Layak secara merit buat kali pertama selepas hampir lebih 40 tahun, Malaysia telah diundi dalam kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.
Meskipun menyedari hakikat lawan yang bakal ditemui di Qatar pada bulan Januari itu bukanlah calang-calang pasukan, Pan-gon ingin melihat aksi terbaik ditampilkan anak buahnya bagi merintis kepada impian untuk mara ke pusingan 16.
“Maksud saya Piala Asia bukanlah pentas yang mudah. Ada pasukan yang lebih baik daripada kami,’’ ujar pengendali kelahiran Korea Selatan itu menurut sumber laporan Bernama.
“Semua perlu bersedia untuk ini, dalam apa jua situasi kita mesti bersatu, saling memberikan semangat dan mendorong pemain, ini penting.’’
“Kami akan cuba yang terbaik , kami mahu memberikan permainan yang baik, menang dan layak (ke pusingan 16) dan menghadiahkan kejayaan buat Malaysia.’’
“Namun, kami perlu melakukannya langkah demi langkah,’’ tambah Kim Pan-gon lagi.
Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Asia adalah pada edisi 2007 dimana Bukit Jalil dan Shah Alam menjadi tuan rumah bersama-sama Indonesia (Jakarta dan Palembang), Thailand (Bangkok) dan Vietnam (Hanoi dan Ho Chi Minh).
Kejohanan tersebut menyaksikan skuad negara tewas ketiga-tiga perlawanan bertemu China (1-5), Uzbekistan (0-5) dan Iran (0-2).