Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon mengambil tanggungjawab sepenuhnya setelah Malaysia tewas kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 semalam.
Baca Juga:
- Thailand vs Malaysia: Changsuek Leburkan Impian Final Harimau Malaya
- Khalid Jamlus Nafi Kritik Kim Pan-Gon
- Doan Van Hau Anggap Marc Klok Sebagai ‘Pelakon Drama’
Thailand memenangi perlawanan yang berlangsung di Stadium Thammasat dengan keputusan 3-0 dimana jaringan disumbangkan oleh Teerasil Dangda, Bordin Phala dan Adisak Kraisorn.
Setelah tewas, Pan-gon kemudiannya memuji persembahan yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya sekaligus memohon maaf kepada peminat kerana gagal untuk mara ke perlawanan akhir.
“Para pemain berlari seperti ‘anjing’ malam ini (semalam). Mereka mengikut arahan yang telah diberikan dan berjuang sehingga ke minit akhir. Jika ada masalah, itu dari pihak saya.
“Dari sudut taktikal, barisan pemain dan corak permainan. Itu semua adalah masalah saya dan bukan masalah yang harus dipikul pemain. Apa-apa pun, anda boleh salahkan saya. Jangan salahkan pemain,” dipetik daripada perkongsian salah seorang wartawan sukan di laman media sosial Twitter.
“The players ran like ‘dogs’ tonight, followed my instructions and fought till the end. Any problems, that is my side. Tactical, line-up and strategy, if there’s a problem, that’s my problem not the the players. Anything, you can blame me, not the players.” – KPG post-game.
— KF (@aeroberg) January 10, 2023
Selain itu, Kim Pan-gon juga memuji komitmen yang ditampilkan oleh pemain dimana mereka sanggup untuk meninggalkan keluarga untuk beraksi bersama pasukan negara dalam saingan Piala AFF.
“Saya sangat menghargai pemain yang sanggup mengorbankan cuti mereka dan masa bersama keluarga demi skuad kebangsaan. Tiada sebarang kekesalan dan apa-apa rungutan daripada saya untuk Harimau Malaya. Kami akan belajar sesuatu daripada kempen Piala AFF kali ini,” tambahnya.
Terdahulu, Teerasil Dangda melonjak tinggi untuk menanduk masuk hantaran berkualiti daripada ketua pasukan, Theerathon Bunmathan sekaligus menjaringkan gol keenamnya dalam saingan edisi kali ini.
Penyokong Thailand sekali lagi melonjak kegembiraan apabila Bordin Phala yang tidak dikawal dalam kawasan penalti meledakkan rembatan untuk menewaskan Ahmad Syihan pada minit ke-55.
Adisak Kraisorn yang dimasukkan pada awal babak kedua menambah duka skuad kendalian Kim Pan-gon selepas beliau menolak masuk bola susulan hantaran lintang dilakukan Ekanit Panya.
Kedudukan 3-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil dari Jordan, Adham Mohammad Tumah Makhadmeh sekali gus menghentikan perjuangan skuad negara. Thailand akan bertemu Vietnam di pentas final.