Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon jelas tidak menghiraukan rekod buruk Malaysia ketika bertandang ke Yangon untuk menghadapi Myanmar dalam aksi sulung Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, petang ini.

Baca Juga:

Bakal beraksi di Stadium Thuwunna pada 6.00 petang nanti, skuad negara yang kini berwajah baharu perlu meraih kemenangan untuk meningkatkan lagi moral menjelang aksi seterusnya selain memiliki misi serampang dua mata.

Hal ini kerana Malaysia dilihat seringkali bermasalah untuk menewaskan Myanmar ketika bertandang ke gelanggang lawan tersebut.

Sehubungan dengan itu, pengendali kelahiran Korea Selatan tersebut amat yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk menamatkan kemarau kemenangan skuad negara berdepan Myanmar di Yangon.

“Ya, kami sudah bersedia untuk bersaing dalam kejohanan ini, juga untuk menghadapi perlawanan esok [hari ini],” ujar Kim Pan-gon bercakap dalam sidang media pra-perlawanan.

“Semua pemain kami cergas dan yakin untuk beraksi. Kami mahu memberikan persembahan terbaik sebagai hasil untuk diberikan kepda peminat bola sepak Malaysia.”

Darren Lok bakal jadi sandaran ledak jaringan. Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

“Saya tahu semua perlawanan di tempat lawan sentiasa sukar untuk dihadapi. Pasukan tuan rumah seharusnya akan menggunakan sepenuhnya kelebihan di tempat sendiri.”

“Saya juga beberapa kali pernah menentang Myanmar. Saya merasakan pemain mereka mempunyai kualiti yang baik, secara individu saya rasa beberapa pemain mereka cukup menarik. Tetapi, saya tidak peduli dengan prestasi atau keputusan perlawanan sebelum ini.”

“Kami hanya fokus kepada siapa kami sebenarnya. Kami adalah sebuah pasukan yang kuat dan sangat bersedia untuk mengharungi sebarang keadaan di sini. Jadi, saya percaya pemain sangat ‘laparkan’ kemenangan dan mereka akan memberikan prestasi terbaik esok.”

Selepas menghadapi Myanmar, kem skuad negara akan kembali ke tanah air untuk beraksi menentang Laos pada 24 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiga hari kemudian, Vietnam menanti di Stadium My Dinh, Hanoi untuk aksi ketiga manakala Singapura bakal menjadi pencabar terakhir pada 3 Januari 2023 di Bukit Jalil.