Terengganu FC (TFC) enggan pulang dengan tangan kosong apabila bakal berdepan Bali United pada aksi kedua peringkat kumpulan Piala AFC malam ini di Stadium Kapten 1 Wayan Dipta Gianyar, Bali.

Baca Juga:

Justeru itu, mereka tekad buru kemenangan kedua selepas menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin minggu lalu.

“Kami berharap agar dapat memperagakan aksi yang terbaik bersama-sama dalam misi untuk melakar kemenangan kedua dalam pertemuan itu.

“Sudah tentu gol awal begitu penting buat kami bagi menaikkan lagi semangat dalam misi melakar kemenangan, tapi nasihat saya agar kami dapat fokus dalam masa 90 minit kerana sedar setiap perlawanan itu sukar lebih-lebih bermain di depan penyokong mereka.

“Namun, perancangan jurulatih dan prestasi terkini pasukan mampu menyajikan aksi terbaik dan semestinya kami mahu menang, tapi bermain di tempat lawan satu mata sudah cukup bagus,” kata pemain tengah TFC, Omid Nazari dipetik dalam Berita Harian. 

TFC dijangka mempertaruhkan gandingan Habib Haroon, Sony Norde dan Nurillo Tukhtasinov di posisi tengah manakala Ivan Mamu akan mengetuai bahagian serangan.

Mereka juga turut diperkuatkan oleh penjaga gol yang disenaraikan dalam skuad kebangsaan, Suhaimi Husin bersama beberapa pemain pertahanan muda tempatan.

Sementara itu, pengendali Bali United, Stefano Cugurra berpendapat Terengganu bukan pasukan yang mudah untuk dikalahkan.

“Mereka pasukan kuat di Liga Malaysia. Say tahu mereka ada bajet besar untuk mendapatkan pemain yang berkualiti.

“Terengganu juga beraksi baik di gelanggang sendiri namun kami juga tidak kurang hebatnya. Kami perlu pastikan semuanya berada dalam keadaan terbaik untuk hadapi perlawanan ini,” katanya.

Bali United menewaskan kelab Filipina, Stallion Laguna 5-2 ketika aksi pertama Piala AFC pada minggu lalu.