Misi sukar sedang menanti Terengganu FC (TFC) apabila mereka bakal berdepan pasukan kuat dalam kumpulan G pada majlis undian rasmi Piala AFC 2023/24 zon Asia Tenggara yang berlangsung hari ini.

Saingan Piala AFC kali ini melibatkan penyertaan buat kali pertama dua buah kelab dari Australia dan mereka juga merupakan calon juara berdasarkan kekuatan yang dimiliki.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu diundi bersama juara Liga Indonesia 1 (Bali United), kelab Filipina (Stallion Laguna) dan bekas juara Liga Australia dua kali, Central Coast Mariners.

Central Coast Mariners bukan calang-calang pasukan kerana pernah beraksi dalam saingan AFC Champions League.

Satu lagi wakil Malaysia, Sabah turut beraksi di Piala AFC dan mereka diundi dalam kumpulan H bersama naib juara Liga Vietnam (Haiphong), wakil Singapura (Hougang United) serta kelab Indonesia (PSM Makassar).

Manakala kumpulan F menempatkan wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu, kelab Australia (Macarthur FC), kelab Myanmar (Shan United) dan juara Liga Kemboja (Phnom Penh Crown).

Perlawanan peringkat kumpulan dijadualkan berlangsung bermula 18 September 2023 hingga 14 Disember 2023.

Setiap pasukan dari zon masing-masing akan bermain dalam 6 perlawanan dalam format home & away secara timbal balik diikuti separuh akhir zon pada 12 & 13 Februari 2024 (Asean) dan 12,13,19 & 20 Februari 2024 (Asia Barat).

Seterusnya perlawanan akhir zon ASEAN pada 22 Februari 2024 dan perlawanan akhir zon Asia Barat pada 16 April & 23 April 2024.

Juara zon ASEAN akan akan menentang juara dari zon selatan, tengah dan timur di peringkat separuh akhir ‘Inter-Zonal’ pada bulan Mac 2024. Perlawanan akhir Piala AFC 2023/24 akan diadakan pada 5 Mei 2024.

Musim ini merupakan yang terakhir Piala AFC menggunakan format lama sebelum format baharu digunakan pada musim depan serta ditukar nama kepada kejohanan baharu iaitu AFC Challenge Cup (ACGL).