Terengganu FC (TFC) menjadi bualan peminat bola sepak tempatan apabila melakar kejutan menewaskan bekas juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners 1-0 pada aksi pertama peringkat kumpulan Piala AFC 2023/24.
Baca Juga:
- Terengganu Sambar Khidmat Pemain Kebangsaan Uzbekistan
- Liridon Krasniqi Jadi Mangsa Kecaman Penyokong Terengganu
- Steinbruckner Mahu Pemain Terengganu Perbaiki Aspek Hantaran
Ketua Jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner memberi kepercayaan kepada pemain tempatan untuk membarisi benteng pertahanan dan mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik.
TFC memperoleh gol tunggal pada masa kecederaan babak pertama apabila hantaran lintang pemain import kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov tertampan pertahanan pelawat, Nathan Paull ke dalam gawang sendiri.
Sebelum itu TFC berpeluang dapat gol pembukaan selepas rembatan Hakim Hassan sedikit tersasar ke tiang gol.
Namun, kesilapan Paull tertampan bola ke gawang sendiri menceriakan hampir 6,000 peminat setia pada masa kecederaan babak pertama.
Pada minit ke-47, Sony Norde berpeluang untuk menambah jaringan menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti, tetapi bola ditepis keluar penjaga gol lawan, Daniel Vukovic.
TFC membuat satu pertukaran dengan membawa masuk Adisak Kraison dan mengeluarkan Hakim Hassan. Pasukan pelawat cuba mencari jaringan penyamaan untuk separuh masa kedua namun tidak berjaya apabila pertahanan tuan rumah cemerlang menepis beberapa percubaan berbahaya.
Pada minit ke-75, kapten TFC, Habib Haroon nyaris menambah gol kedua apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti sekadar menggegar tiang gol lawan.
Kedua-dua pasukan terus mengasak untuk menambah jaringan, namun gagal dan keputusan kekal milik TFC 1-0.
Kemenangan itu membolehkan TFC menghuni tangga kedua kumpulan di belakang pendahulu, Bali United dari Indonesia.