Sabah FC tekad buru kemenangan kedua apabila dijadualkan bertemu kelab Indonesia, PSM Makassar pada aksi Piala AFC di Stadium Kapten I Wayan Dipta, di Bali malam ini.
Baca Juga:
- Piala AFC 2023/24: Bali United, Terengganu Berkongsi Mata
- Piala AFC 2023/24: Terengganu Benam Bekas Juara Liga Australia
- Tiada Lagi Piala AFC Pada Musim 2024/25
Ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yakin dengan kemampuan anak buahnya untuk mendapatkan 3 mata berdasarkan pencapaian mereka menewaskan Hougang United FC dari Singapura 3-1 ketika aksi pertama Piala AFC di Stadium Likas.
Bagaimanapun, Kim Swee tidak mahu para pemainnya memandang rendah terhadap cabaran PSM Makassar yang pasti mahu bangkit di halaman sendiri.
“PSM Makassar sudah pasti mahu bangkit selepas tewas di tangan pasukan Vietnam (Hai Phong FC) pada perlawanan pertama baru-baru ini.
“Namun, kita tetap berharap untuk mendapatkan keputusan yang baik berdasarkan pencapaian Sabah FC ketika melawan Hougang sebelum ini,” katanya pada sidang media semalam.
Skuad Sabah berangkat ke Indonesia lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan persekitaran supaya mereka cukup bersedia dari segi mental serta fizikal.
“Bezanya kali ini, kita berada di sini (Bali) lebih awal dan itu diharap dapat membantu memudahkan kita berdepan dengan PSM Makassar,” jelasnya.
Sementara itu, pemain import Sabah yang berasal dari Indonesia, Saddil Ramdani menyifatkan aksi menentang PSM Makassar ibarat pulang ke kampung halaman.
Beliau juga tidak sabar membantu Sabah mencatat keputusan positif walaupun terpaksa beraksi di hadapan penyokong negara kelahirannya.
“Ini adalah aksi yang kami tunggu dan bersemangat untuk kami juga. Di mana bermain di kampung saya sendiri sebenarnya dan apa yang kami harapkan, dapat pamerkan yang terbaik esok,” katanya yang juga pemain kebangsaan Indonesia.
Jika menang, Sabah akan mengukuhkan kedudukan dalam dua teratas Kumpulan H dan mereka dibezakan dengan jumlah jaringan serta bolos dengan pendahulu dari Vietnam, Hai Phong FC.