Pemain naturalisasi negara, Endrick Dos Santos percaya pasukan negara mampu untuk memenangi kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang akan bermula pada 13 Oktober ini.

Baca Juga:

Menurut Endrick, meskipun Malaysia bakal turun menentang pasukan yang berada di ranking FIFA yang lebih baik berbanding skuad Harimau Malaya, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memberikan sebab mengapa beliau percaya pasukan negara mampu untuk muncul sebagai juara.

Endrick dos Santos
Kredit Foto: Malaysian Football League (MFL)

“Ketika ini kami bermain dengan keyakinan tinggi kerana sudah faham dengan corak permainan dan kaedah yang digunakan oleh jurulatih (Kim Pan-gon).

“Meskipun kami akan menentang pasukan yang lebih kuat, kami yakin Malaysia mampu muncul sebagai juara. Kami bermain baik ketika menentang Syria dan China dan kini kami mahu memperbaiki prestasi kami,” kata Endrick Dos Santos dipetik dari laporan The Star.

Ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon pula mahu menjadikan kejohanan Pestabola Merdeka 2023 sebagai medan untuk memilih pemain yang akan dibawa bagi beraksi di temasya Piala Asia 2024 tahun hadapan.

Menurut Pan-gon, pemain yang dipanggil dalam senarai kali ini perlu membuktikan mereka layak untuk berada dalam skuad yang dibawa ke Qatar kelak.

“Jadi pentas ini (Pestabola Merdeka 2023) cukup penting bagi mereka (pemain). Jadi saya fikir bagi kami, kami tidak boleh melakukan banyak perubahan (ke atas pemain) kerana bagi saya, saya tidak bergantung hanya kepada satu aksi perlawanan, kerana kadang-kadang dalam satu atau dua perlawanan, prestasi pemain boleh menurun,” katanya.

Melihatkan kepada senarai barisan pemain, tiada perubahan yang begitu ketara dilakukan oleh Kim Pan-gon dimana dapat disaksikan barisan pemain seperti kebiasaan dipanggil.

Selain Suhaimi Husin (Terengganu) yang merupakan muka baharu, dua lagi posisi penjaga gol diisi oleh Ahmad Syihan Hazmi Mohammed (Johor Darul Ta’zim) dan Azri Ghani (KL City).

Manakala Dion Cools akan mengepalai jentera pertahanan bersama-sama La’vere Corbin-Ong, Matthew Davies (JDT), Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng (Selangor), Dominic Tan, Daniel Ting (Sabah), Azam Azmi Murad (Terengganu) dan Junior Eldstal (Dewa United).

Posisi tengah pula menyaksikan Endrick Dos Santos (JDT), Brendan Gan, Mukhairi Ajmal (Selangor), Stuart Wilkin (Sabah), Paulo Josue (KL City) dan Nooa Laine (SJK Seinajoki) menjadi pilihan pengendali kelahiran Korea Selatan itu.

Manakala, jentera serangan juga memperlihatkan muka biasa seperti trio JDT iaitu Arif Aiman Mohd Hanapi, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bersama Faisal Abdul Halim (Selangor), Darren Lok (Sabah) serta dua pemain Sri Pahang, Sergio Aguero dan Nur Shamie Iszuan.