Setelah Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobat sebagai juara saingan Liga Super musim ini, tumpuan peminat bola sepak tanah air kini terarah kepada perlumbaan lapan pasukan untuk menduduki tempat kedua dalam carta Liga.

Ketika ini, pasukan Pahang menduduki tangga kedua dengan kutipan 30 mata, satu mata dihadapan Kedah yang berada di tangga ketiga, dua mata dihadapan Selangor yang menghuni tangga keempat dan tiga mata dihadapan pasukan Perak yang berada di tangga kelima.

Meskipun keempat-empat pasukan di atas berada tidak jauh di belakang Pahang, namun empat pasukan lain iaitu Melaka United, Terengganu FC, PKNS FC dan Petaling Jaya City FC masih mempunyai peluang untuk merebut kedudukan tempat kedua daripada Pahang.

Melaka United kini mempunyai 26 mata dan menduduki tangga keenam, dibezakan dua mata di hadapan Terengganu FC yang menghuni tangga ketujuh. PKNS FC dan PJ City FC mempunyai kutipan mata yang sama iaitu 20 mata dan masing-masing pasukan menduduki tangga ke-8 dan ke-9.

Pahang mempunyai sedikit kelebihan dimana mereka masih mempunyai baki lima perlawanan berbanding tujuh pesaing mereka yang mempunyai baki empat perlawanan. Jika memenangi empat perlawanan, maka Pahang akan menjadi naib juara saingan Liga Super musim ini.

Nazirul Naim
Aksi Nazirul ketika Perak menentang Ulsan Hyundai dalam perlawanan kelayakan ACL 2019 peringkat ketiga.
Photo by Yu Chun Christopher Wong / Power Sport Images

Perlumbaan untuk tempat kedua dalam carta Liga musim ini mendapat sambutan kerana hukuman yang dikenakan kepada Pahang untuk beraksi di pentas Asia hanya akan berakhir pada tahun hadapan. Sekiranya Pahang memenangi Piala FA, maka slot untuk beraksi dalam peringkat kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 pusingan kedua akan diberikan kepada naib juara Liga Super.

Akan tetapi, sekiranya Pahang gagal untuk muncul juara Piala FA, maka slot kelayakan ACL akan diberikan kepada pemenang sama ada Perak, Felda United ataupun Kedah.