Malaysia tidak terlalu berdepan masalah untuk meraih kemenangan 4-1 ke atas pasukan ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Ibrahim, sebentar tadi.

Baca Juga:

Ia merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad negara dalam perlawanan persahabatan pada tahun ini yang mana sebelum ini mereka menundukkan Hong Kong dan Turkmenistan.

Anak buah Kim Pan-gon yang dibarisi pemain-pemain berkualiti tinggi terutamanya dengan kembalinya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen liga domestik bagaimanapun tersentak pada minit ke-11.

Ia berikutan kesilapan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang gagal menghalang bola larian Gagame Feni ketika beliau keluar jauh daripada posisinya.

Kesempatan itu diambil sepenuhnya Feni untuk melakukan hantaran ke arah pintu gol Malaysia yang sudah pun terbuka luas dan kemudiannya mudah ditolak masuk Raphael Le’ai untuk memberikan kelebihan buat Kepulauan Solomon.

Tersentak dengan jaringan tersebut, barisan pemain negara memperkemaskan aksi untuk menggandakan asakan ke arah pintu gol Kepulauan Solomon yang dikawal Philip Mango.

Paulo Josue jelas menjadi pemain yang cukup berbahaya di hadapan pintu gol lawan selepas beberapa percubaan terbaik dimilikinya.

Bermula daripada hantaran menarik La’vere Corbin-Ong dalam kawasan penalti, rembatan dilakukan Josue bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh Mango.

Berselang lima minit kemudian, rembatan kaki kanan Josue ketika keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol lawan digagalkan pemain pertahanan, Javin Alick.

Kehampaan pemain naturalisasi itu berakhir pada minit ke-40 apabila cubaan Mango mengeluarkan bola dari kawasan bahaya disudahkan dengan baik Josue untuk menyamakan kedudukan.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral pemain negara untuk menambah jaringan dan usaha mereka membuahkan hasil pada masa kecederaan babak pertama.

Jaringan tersebut terhasil menerusi sepakan penalti Arif Aiman Mohd Hanapi selepas beliau dikasari oleh Calvin Ohasio bagi memberikan kelebihan buat Malaysia.

Memasuki babak kedua, skuad negara berusaha keras dalam mencipta beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan.

Gol tersebut muncul pada minit ke-77 selepas pemain gantian, Safawi Rasid mengawal bola dengan baik hasil hantaran Lee Tuck lalu disudahkan dengan percubaan voli kaki kiri berkelas dunia untuk menewaskan Mango.

Seorang lagi pemain gantian, Lee Tuck juga tidak ketinggalan untuk meletakkan nama selaku penjaring susulan gol dihasilkannya pada minit ke-91 selepas rembatan kaki kirinya menerjah gawang pasukan lawan.