Aksi cukup garang pada babak kedua membolehkan skuad Malaysia membelasah Papua New Guinea 10-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sebentar tadi.
Baca Juga:
- Jurulatih Papua New Guinea Akui Pasukannya Lebih Bersedia Hadapi Malaysia
- Perlawanan Persahabatan: Malaysia Tiada Masalah Atasi Kepulauan Solomon
- Malaysia vs Solomon Islands: Safawi Rasid Hadiahkan Gol Kepada Isteri
Segar dengan kemenangan ke atas Kepulauan Solomon di gelanggang yang sama, Kim Pan-gon melakukan enam pertukaran buat kesebelasan utamanya.
Keadaan itu tidak menganggu rentak skuad negara untuk menguasai sebahagian besar permainan tetapi kualiti penyudah nyata mengecewakan pada separuh masa pertama.
Selain itu, dua jaringan daripada Paulo Josue juga dibatalkan susulan berada dalam kedudukan ofsaid serta beliau mengasari pertahanan lawan ketika situasi bola di udara.
Begitu banyak peluang terhidang gagal disempurnakan menjadi jaringan hinggalah pada masa kecederaan yang menyaksikan Safawi Rasid membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti.
Percaturan Pan-gon dalam memasukkan duo pemain sayap terbaik negara, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi pada awal babak kedua jelas membuahkan hasil.
Kombinasi dua pemainĀ tersebut nyata meningkatkan intensiti di jentera serangan sehingga membuatkan pertahanan Papua New Guinea berada dalam keadaan tertekan.
Berpunca daripada kegagalan pertahanan lawan mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya susulan serangan dimulakan Faisal Halim, ia memberikan ruang kepada Josue untuk melepaskan rembatan hasil lorongan baik Azam Azmi Murad bagi menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-52.
Selepas itu, kemaraan jentera serangan Malaysia langsung tidak dapat dibendung apabila Arif Aiman menambah gol ketiga pada minit ke-57.
Gol itu terhasil selepas Arif bijak menghidu hantaran jauh Shahrul Mohd Saad dan kemudiannya meninggalkan pertahanan lawan untuk merembat masuk bola untuk terus menceriakan para penyokong.
Tidak cukup dengan gol tersebut, Faisal pula meletakkan nama selaku penjaring apabila ketenangannya melepasi pertahanan Papua New Guinea disudahkan dengan baik oleh beliau.
Tidak sampai seminit jaringan itu terhasil, Faisal kemudiannya membuka ruang buat Arif Aiman untuk menolak masuk bola menerusi dadanya bagi jaringan kedua peribadi buat pemain muda tersebut.
Memasuki minit ke-64, Paulo Josue tidak berdepan masalah untuk menolak masuk jaringan ketujuh hasil hantaran lintang dilakukan Azam Azmi.
Berselang enam minit kemudiannya, beliau meledakkan hatrik ketika situasi hampir serupa dengan gol keduanya tetapi kali ini menerima hantaran lintang Arif Aiman.
Nafsu membuak-kem Malaysia untuk menambah jaringan diteruskan dengan Daniel Ting juga mengambil kesempatan di atas kesilapan penjaga gol Papua New Guinea, Ronald Warisan pada minit ke-76.
Kombinasi Arif Aiman dan Faisal dilihat masih belum berpuas hati dengan lapan jaringan tersebut apabila anak kelahiran Pulau Pinang itu membuka ruang buat Arif Aiman untuk menambah dua lagi jaringan pada minit ke-87 dan 89.
Empat gol daripada Arif Aiman sudah cukup untuk menceritakan tentang kemampuannya walaupun hanya beraksi selama 45 minit pada perlawanan ini.