Terengganu FC (TFC) meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super Malaysia 2021 apabila berjaya menundukkan Perak FC 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, sebentar tadi.
Masih segar dengan dua kemenangan awal ke atas UiTM FC dan Selangor, TFC yang dibimbing Nafuzi Zain tampak begitu garang sejak wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri.
Ia jelas terbukti apabila pasukan pelawat mendapat dua peluang terbaik seawal minit kedua menerusi pemain import, Jordan Mintah yang berjaya melepasi kawalan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
Bagaimanapun, percubaan ke arah gol cuba dilakukannya ketika gawang Perak sudah terbuka luas berjaya dipintas pemain pertahanan, Shakir Hamzah.
Mintah mendapat peluang kedua berselang seminit kemudian, tetapi tandukannya dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran lintang Decho Marcel N’Guessan sedikit melewati palang gol.
Tersentak dengan penguasaan serta tekanan yang diberikan TFC, Perak cuba untuk bangkit dengan memperbaiki aksi lebih tersusun.
Guilherme De Paula terlepas peluang terbaik berpunca daripada kesilapan hantaran penjaga gol TFC, Muhammad Rahadiazli Rahalim. Namun, rembatan De Paula dari jarak jauh dihalang penjaga gol muda tersebut.
Tidak mahu Perak terus mendominasi aksi, barisan pemain TFC kembali memberikan asakan bertub-tubi dan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-24.
Berpunca daripada keadaan kelam kabut dalam kawasan penalti berikutan kegagalan Shahrul Mohd Saad mengeluarkan bola dengan baik memberikan peluang buat Mohamad Faisal Abdul Halim melepaskan rembatan untuk membuka tirai jaringan.
Perak cuba untuk bangkit bagi mendapatkan jaringan penyamaan tetapi beberapa peluang keemasan dimiliki berjaya dinafikan kekentalan jentera pertahanan TFC yang diketuai Carlos Alberto Martinez De Murga.
Dalam keghairahan anak buah Chong Yee Fat berusaha keras mendapat jaringan yang diharapkan, Dechi Marcel mematikan api perjuangan skuad Yob pada minit ke-91 hasil percubaan melencong diledakannya sekali gus menewaskan Hafizul Hakim.
Keputusan 2-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan kemenangan ketiga buat TFC bagi menduduki tangga kedua, hanya kekurangan perbezaan jaringan berbanding pendahulu, Johor Darul Ta’zim.