Dua pasukan yang sebelum ini kecundang, Perak dan Kedah berkongsi mata di Stadium Perak, Ipoh apabila terikat 1-1 pada aksi kesembilan kempen Liga Super Malaysia 2021, sebentar tadi.
Aksi serang menyerang yang ditampilkan kedua-dua pasukan terutamanya pada separuh masa kedua jelas menambahkan kehangatan perlawanan melibatkan dua pasukan utara tanah air itu.
Perak yang tidak mahu terus dibelenggu kekalahan memulakan perlawanan dengan baik apabila mencipta dua peluang seawal minit keenam dan kelapan menerusi percubaan jarak jauh Leandro Dos Santos serra tandukan dalam kawasan penalti Guilherme De Paula.
Penjaga gol Kedah, Shahril Sa’ari tidak berdepan masalah untuk menangkap kemas kedua-dua percubaan daripada pemain kelahiran Brazil tersebut.
Keadaan yang sama turut dihadapi Kedah setelah tandukan Tchetche Kipre susulan hantaran lintang dilakukan Azammudin Akil pada minit ke-25 ditangkap penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.
Jaringan yang dinantikan kem tuan rumah menjelma pada minit ke-58 apabila De Paula menanduk masuk bola hasil hantaran Raianderson Da Costa Morais (Careca) susulan kesilapan pertahanan Kedah gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu tampil dengan lebih garang dalam memberikan ancaman buat pintu gol Perak.
Kekentalan Hafizul yang bertindak cemerlang dalam menafikan dua percubaan Kipre dan Kpah Sherman gagal diteruskan pada minit ke-79 apabila beliau tidak berupaya untuk menghalang Sherman daripada menjaringkan gol penyamaan.
Usaha para pemain untuk menambah jaringan selepas itu tidak membuahkan hasil untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.