Skuad Kelantan United nampaknya serius beri tentangan sengit dalam saingan Liga Malaysia musim 2023 apabila mereka telah menandatangani penyerang skuad kebangsaan Kyrgyzstan, Ernist Batyrkanov untuk perkuat jentera serangan pasukan tersebut.
Baca Juga:
- Kelantan United Perkenal Logo Baharu Yang Lebih Kemas
- Pra Musim 2023: Buriram United Belasah TRW Kelantan 7-0
- Kelantan United Tandatangani Perjanjian Rakan Kerjasama Dengan Kelab J.League, Shonan Bellmare
Batyrkanov sebelum ini pernah beraksi di Liga Kazakhstan serta Armenia. Pada musim 2022, beliau telah membantu kelab terakhirnya, Abdysh-Ata Kant muncul Juara Liga Kyrgyzstan dan Piala Kyrgyzstan.
Turut berkebolehan beraksi di posisi sayap kiri dan kanan, pemain yang berusia 25 tahun itu antara bakat muda di negaranya dan sering dipanggil menyertai skuad kebangsaan Kygyzstan.
Memulakan karier muda 2016 bersama Alaa-To Naryn, dia mendapat kontrak profesional bersama kelab Dordoi selama 4 tahun sebelum berkelana ke Liga Kazakhstan, Kyzyl-Zhar pada tahun 2021.
Tidak sampai setahun, pemain kelahiran Bishkek ini disambar kelab Liga Armenia, FC Van dan telah membantu pasukan tersebut menamatkan musim 2021 di tangga keenam serta layak ke suku akhir Piala Nasional.
Dia menjaringkan 13 gol dan 6 bantuan gol keseluruhan bersama kelab terakhir musim lepas sekaligus meletakkan dirinya dalam senarai terkini skuad Kebangsaan Kyrgyzstan dan kali terakhir tersenarai ialah ketika aksi persahabatan antarabangsa pada September 2022 melawan Russia.
Selain Batyrkanob, Kelantan United FC turut mengumumkan kemasukan pertahanan tengah dari Brazil, Yan Victor Silva Paixão yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan skuad B-15 dan B-17 Brazil.
Yan Victor memulakan karier awalnya bersama kelab Liga Utama Portugal, Gil Vicente pada musim 2016/17. Semusim kemudian, pemain yang mempunyai ketinggian 1.89 meter ini menyertai kelab Marinhense sebelum ke kelab Cova Piedade.
Pada musim 2020/21, barulah Yan Victor beraksi di negara kelahirannya apabila menjadi pemain kelab Botafogo-SP dan beraksi 15 perlawanan pada tahun itu. Kariernya terus berkembang setelah dibawa ke Caxias-RS pada musim 2021/22.
Bola sepak Asia bukan asing bagi pemain itu kerana sudah mempunyai pengalaman beraksi bersama kelab Liga Korea, Chungbuk Cheongju FC pada musim lepas.
Secara keseluruhannya, Yan Victor telah beraksi lebih 65 perlawanan sejak lima tahun lepas di tiga negara berbeza.