Seorang lagi pemain dari Jepun bakal beraksi di Eropah apabila penyerang Kashima Antlers, Yuma Suzuki sah menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Jupiler Pro League, Sint Truiden V.V bagi menghadapi saingan musim 2019.
Perpindahan Suzuki yang menyertai Sint Truiden ini disahkan oleh Kashima menerusi satu video yang dimuat naik di laman media sosial rasmi pasukan. Video tersebut memaparkan Suzuki sedang memberikan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan ketika beraksi bersama Kashima.
この度、鈴木選手がベルギーリーグ1部のシント=トロイデンVVヘ完全移籍することで、クラブ間の基本合意に達しました。
皆さんへ鈴木選手からのメッセージです!
寂しくなりますが…優磨、いってらっしゃい!
詳細は、公式サイトで!:https://t.co/3i5B33FjiC pic.twitter.com/mbSr1vANnZ
— 鹿島アントラーズ (@atlrs_official) July 15, 2019
Pemain berusia 23 tahun itu akan menjalani ujian perubatan terlebih dahulu sebelum menandatangani kontrak bersam akelab yang dimiliki oleh syarikat E-Dagang dari Jepun iaitu DMM.com. Menurut Yuma, peluang untuk beraksi bersama Sint-Truiden mungkin menjadi peluang terakhir beliau untuk beraksi di Eropah dan berazam mahu memanfaatkan dengan sebaiknya.
“Saya memutuskan untuk berhijrah kerana memikirkan mungkin ini ialah peluang terakhir saya untuk beraksi di Eropah memandangkan usia saya yang sudah mencecah 23 tahun. Kashima telah menjadikan saya seorang individu serta pemain bola sepak yang baik. Kelab ini bagaikan rumah kepada saya dan terima kasih saya ucapkan,” kata Suzuki menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kashima.
Suzuki terlepas aksi J1 League musim ini kerana mengalami kecederaan pangkal paha yang dialami pada Disember tahun lalu. Beliau sempat pulih namun kembali mengalami kecederaan tersebut ketika menjalani sesi latihan sebelum musim 2019 bermula pada Februari lalu.
Pemain yang pernah memenangi Anugerah Pemain Terbaik saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2018 ini akan menyertai rakan sepasukan di skuad kebangsaan Jepun, Daniel Schmidt yang mengesahkan perpindahan ke Truiden sebelumnya. Selain itu, Sint-Truiden turut mempunyai dua lagi pemain Jepun iaitu Wataru Endo dan Kosuke Kinoshita.