Pengurus Al-Nassr, Rudi Garcia mendedahkan pemain lain kini memahami gaya dan corak permainan ketua pasukan, Cristiano Ronaldo selepas pemain itu menjaringkan empat gol dalam perlawanan liga baru-baru ini.

Baca Juga:

Al-Nassr menewaskan Al-Wehda dalam aksi saingan Saudi Pro League dengan keputusan 4-0 dan Cristiano Ronaldo menjaringkan keempat-empat gol pasukan setelah permulaan sukar bersama kelab baharunya.

Setelah menyumbat empat gol minggu lalu, Rudi percaya rakan sepasukan Ronaldo kini mulai memahami gaya permainan pemain berusia 38 tahun itu dan percaya para pemain kini berada dalam keadaan harmoni.

“Ronaldo telah mencapai tahap kebersamaan dan keharmonian dengan rakan sepasukan. Lama kelamaan, rakan sepasukannya menyedari apa yang dia mahukan dan bila dia akan menjaringkan gol. Saya rasa ia adalah malam yang baik untuk Cristiano kerana dia menjaringkan empat gol,” katanya.

Selepas tewas kepada Al-Ittihad dalam saingan Piala Super Saudi bulan lalu, Rudi menggesa agar pemainnya tidak selalu memberikan bola kepada Ronaldo sekaligus merencatkan corak permainan yang telah ditetapkan.

“Penting untuk pemain bermain secara normal dan tidak selalu cuba memberikan bola kepada Cristiano. Saya beritahu bahawa mereka perlu membuat keputusan yang betul di atas padang.

“Jelas sekali, apabila Cristiano atau Anderson Talisca bersendirian dan meminta bola, kami perlu memberi mereka bola. Kedua-dua pemain ini mampu membuat perubahan. Kami perlu mengusahakannya, mempunyai salah seorang daripada mereka di kawasan itu dan mungkin seorang lagi akan bermain di luar kawasan itu,” kata Rudi.

Al-Nassr ketika ini menduduki tangga pertama dalam saingan Saudi Pro League dengan perbezaan jaringan dan mereka mahu memenangi gelaran musim ini setelah kali terakhir muncul sebagai juara liga pada musim 2019.