Pemilik kelab yang baru saja dipromosikan ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Burnley iaitu ALK Capital berminat untuk membeli kelab Liga Belgium iaitu KV Kortrijk.
Menurut perkongsian wartawan bola sepak Belgium iaitu Sacha Tavolieri, pemilik Burnley memberikan tawaran sebanyak €15 Juta atau sekitar RM75 Juta kepada pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan untuk membeli kelab itu.
ALK Capital merupakan sebuah syarikat pelaburan dari Amerika Syarikat yang mana syarikat itu membeli 84 peratus saham dalam kelab pada tahun 2020 sekaligus menjadi pemegang saham terbesar.
Tan Sri Vincent Tan membeli Kortrijk pada 2015 dimana taikun perniagaan dari Malaysia itu mengeluarkan dana sebesar €5 Juta atau sekitar RM25 Juta untuk menjadi pemilik kelab.
Burnley berjaya memenangi saingan EFL Championship bagi musim 2022/2023 sekaligus meraih tiket untuk kembali beraksi dalam saingan EPL musim hadapan.
Kejayaan ini mendorong ALK Capital untuk membuat lebih banyak pelaburan dalam bola sepak dan mereka yakin dengan kualiti yang dimiliki oleh KV Kortrijk.
Musim 2022/2023 menjadi musim yang mahu segera dilupakan oleh Kortrijk dimana mereka hanya mampu menamatkan saingan di tangga ke-14 dengan meraih 31 mata.
Penyerang negara, Luqman Hakim masih berstatus sebagai pemain Kortrijk dan sekiranya Tan Sri Vincent menjual kelab itu, maka ada peluang untuk Luqman sekurang-kurangnya menjalani latihan bersama Burnley.