Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe bakal memanggil pemain untuk menyertai kem latihan pusat lebih awal menjelang perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand dan Indonesia bulan hadapan.

Menurut Cheng Hoe, latihan awal berkenaan hanya akan melibatkan pemain yang tidak terikat dengan komitmen bersama pasukan yang sedang beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2019 yang telah memasuki peringkat separuh akhir. Latihan awal ini bertujuan untuk memastikan pemain berada dalam keadaan terbaik dan memperbaiki segala kesilapan yang terjadi ketika tewas kepada Vietnam minggu lalu.

Pemain
Sumber Gambar: PFAM

“Sebahagian besar pemain terbabit dalam separuh akhir Piala Malaysia, tapi ada perancangan nak bawa pemain lain berlatih awal. Tetapi sekali lagi kita perlu ingat kita belum sampai satu tahap yang terbaik lagi. Pemain kena bekerja keras lagi setiap latihan untuk memastikan kita berada dalam landasan terbaik,” kata Cheng Hoe menurut laporan Harian Metro.

Pasukan negara kini menduduki tangga keempat dalam carta kumpulan G selepas mengutip tiga mata dari empat perlawanan yang dihadapi setakat ini.

Skuad Harimau Malaya wajib meraih kemenangan ketika perlawanan menentang Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan ketiga sekaligus menempah tiket ke temasya Piala Asia 2023.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaa di sini:

FAM Atur Perlawanan Pemanas Badan Dengan Tajikistan Menjelang ‘Laga’ Thailand Dan Indonesia

Kos Untuk Melahirkan Seorang ‘Luqman Hakim’ Ialah Sekitar RM50,000 Setahun