Pemain pertahanan China, Li Shuai terpaksa kehilangan 7 batang gigi selepas beliau bertembung dengan pemain pertahanan negara, Syahmi Safari dalam satu aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Menurut perkongsian China Sports Vision. Shuai dikejarkan ke hospital selepas beliau bertembung dengan Syahmi ketika perebutan bola di udara yang mana beliau pengsan sejurus kejadian itu.

Shuai bernasib baik kerana tulang belakangnya tidak mengalami sebarang kecederaan ekoran kejadian itu namun beliau terpaksa kehilangan 7 batang gigi hasil daripada pelanggaran tersebut.

Keputusan seri 1-1 ketika menentang Malaysia nyata memberi tamparan hebat bagi bola sepak China dimana mereka menerika kritikan hebat kerana tidak mampu untuk mencatat kemenangan ke atas pasukan yang berada di bawah mereka dalam ranking FIFA.

Salah seorang penolong jurulatih China iaitu Zheng Zhi dilihat hampir bergaduh dengan penyokong yang hadir ke stadium ketika mahu memasuki bilik persalinan.

Zheng Zhi merupakan bekas pemain yang pernah beraksi dengan beberapa kelab di Eropah dan kini beliau dipilih untuk menjadi sebahagian daripada staf kejurulatihan China. Beliau nyata berang dan berasa kurang senang dengan kritikan serta tohmahan yang dilemparkan oleh penyokong di stadium.

Sebelum ini, peminat yang hadir ke stadium mengamuk dan meminta wang mereka dikembalikan selepas hanya mampu seri 1-1 ketika menentang Malaysia.

Pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Phoenix Hill, Chengdu pada Sabtu lalu, Faisal Halim menjaringkan gol bagi pasukan negara manakala gol China dijaringkan oleh Lin Liangming. Tiada tambahan gol dijaringkan dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

Selepas mencatat dua keputusan seri pada perlawanan jendela FIFA kali ini, ketua jurulatih skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon yakin Malaysia mampu untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA pada masa akan datang.

“Menang atau kalah itu tidak penting, prestasi kami adalah yang paling penting. Sasaran kita sudah ada, kita cuba mencipta satu lagi sejarah untuk berusaha berada pada ranking lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.