Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Mohd Syahrizan Mohd Zain percaya pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) oleh Malaysian Football League (MFL) bakal menjadi penyelamat kepada kebanyakan pasukan daripada terjerumus dengan masalah kewangan.
Meskipun pada awalnya peraturan ECP dilihat sukar untuk diikuti kebanyakan pasukan Liga Malaysia namun setelah mendengar taklimat ECP daripada pihak MFL pada Isnin lalu, beliau yakin ia akan banyak membantu pasukan menguruskan kewangan lebih baik.
Malah, Syahrizan memuji pendekatan MFL sebagai badan penganjur Liga Malaysia yang cukup bersungguh membantu semua pasukan bertanding untuk bergerak secara seimbang tanpa mengorbankan nilai komersial Liga Malaysia.
“MFL nampaknya mahu memastikan bahawa liga ini bukan sekadar hendak fokus kepada komersial sahaja tetapi kita nak seimbang juga dengan pengurusan perbelanjaan pasukan.
“Mungkin pada tahun ini untuk permulaan mungkin ada masalah, mungkin ada sedikit kesusahan untuk diikut, namun apa yang saya tengok mungkin dalam tahun 2021 ke atas saya rasa ia boleh membantu pasukan-pasukan untuk mengelak dari terbeban dengan masalah kewangan.
“Kita tidak mahu mengejar piala dalam masa yang sama kita menghadapi masalah kewangan, yang besar sekali ialah masalah kegagalan bayaran gaji pemain, itu lagi memberi imej buruk kepada Liga Malaysia sendiri, “ katanya.
ECP bakal dilaksanakan secara berperingkat mulai musim 2020 dan MFL telah melantik PricewaterhouseCoopers Risk Services Sdn. Bhd (PwC) untuk membangunkan peraturan ECP MFL.
Bermula musim depan, setiap pendapatan yang dianggarkan oleh kelab wajib dikontrakkan dalam tiga bentuk iaitu pendapatan daripada penaja, geran kontrak daripada kerajaan dan sumbangan modal daripada pemilik kelab dengan maksimum 70 peratus sahaja jumlah pendapatan kelab boleh diibelanjakan untuk gaji pasukan pasukan pertama.
Dalam pada itu, Syahrizan mengakui pihak Terengganu FC (TFC) senantiasa menjadikan pengurusan kewangan sebagai aspek utama tiap kali bermulanya musim baharu agar tidak terjerumus dengan isu kelewatan pembayaran gaji dan sebagainya.
Justeru, pelaksanaan ECP ini dilihat akan memudahkan lagi pihak TFC membuat perbelanjaan yang lebih efisien sambil tidak melupakan perkara-perkara lain terutama pembangunan akar umbi.
“Sememangnya kita tahu masalah kewangan ini sedang dihadapi semua pasukan terutama sekali dengan situasi ekonomi sekarang yang tidak menentu.
“Bagi TFC, kita pada setiap musim memang kita buat perancangan yang baik agar kita tidak terbeban dengan hutang sama ada dengan pemain atau mana-mana agensi yang terlibat.
“Melalui informasi yang terdapat dalam taklimat, ECP saya tengok akan membantu kelab ini pada masa akan datang, ” katanya.
Baca artikel lain mengenai ECP di sini:
Pelaksanaan ECP Bertujuan Memastikan Tahap Kewangan Pasukan Liga Malaysia Lebih Stabil