Seorang peguam yang berminat untuk membeli TRW Kelantan, Kamal Hisham Jaafar menegaskan beliau tidak main-main dengan hasratnya mengambil alih pasukan yang sedang bergelut dalam saingan Liga Super 2023 itu.

Baca Juga:

Menurut Kamal, wang bukanlah satu masalah untuk membeli pasukan itu dari Norizam Tukiman atau Zamsaham yang mana beliau mempunyai rakan pelabur dari negara Timur Tengah yang sanggup mengeluarkan dana untuk urusan berkenaan.

“Saya duduk (menetap) di Dubai dan ulang-alik ke Malaysia. Jadi, saya ada rakan di UAE yang memang ada kelab besar di sana dan beliau berminat untuk cari sebuah kelab di Malaysia.

“Jadi, apabila saya tengok, TRW ini sebuah kelab yang menarik. Orang Kelantan ini unik dan mereka mempunyai semangat dalam sukan bola sepak,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Seperkara lagi, peguam tersebut turut memberi jaminan sekiranya beliau dan rakan pelabur mengambil alih TRW Kelantan, pasukan itu akan mendapat menfaat dari pelbagai aspek seperti fasiliti yang boleh digunakan oleh pasukan itu.

Selain Kamal Hisham, usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali Datuk Seri Vida dan pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan pernah menyatakan hasrat membeli kelab tersebut.

Datuk Seri Vida bahkan mahu berguru dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) bagi memastikan TRW Kelantan kembali sebagai sebuah pasukan yang digeruni.