Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Mohd Syahrizan Mohd Zain tanpa berselindung mengharapkan Malaysian Football League (MFL) terus membimbing pasukan-pasukan Liga Malaysia ke landasan positif.

Lebih tepat, Syahrizan mahu melihat MFL dapat meluaskan variasi bantuan kepada rakan-rakan kongsi Liga Malaysia di mana bantuan itu bukan sekadar berbentuk kewangan semata-mata.

Beliau yang mewakili PBSNT untuk Mesyuarat Rakan Kongsi Liga bersama MFL esok berkata, bantuan daripada segi meningkatkan fasiliti dan padang amat dihargai pasukan selain agihan hak penyiaran.

“Yang pertama kebanyakan pasukan berdepan masalah kewangan. Kewangan itu nombor satu dan jika kewangan kita tidak stabil ia akan menimbulkan masalah.

“Kami mengharapkan MFL sebagai pengendali Liga Malaysia, MFL dapat membantu rakan-rakan kongsi di mana MFL sebelum ini telah pun banyak membantu termasuk insentif hak penyiaran pasukan Liga Super dan Premier.

“Diharapkan untuk Mesyuarat Rakan Kongsi Liga kali ini, mungkin ada yang lebih baik daripada itu. Mungkin variasi bantuan-bantuan yang diberikan.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin
Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

“Sebagai contohnya bantuan fasiliti, padang dan sebagainya di mana membantu pasukan Liga Malaysia sendiri, bukannya berbentuk bantuan kewangan sahaja.

“Untuk TFC, MFL telah membantu kami daripada aspek fasiliti dan menaiktaraf Stadium Sultan Mizal Zainal Abidin yang dijangka beroperasi pada musim depan dan itulah antara salah satu inisiatif MFL kepada pasukan Liga Malaysia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syahrizan optimis bahawa Mesyuarat Rakan Kongsi Liga kali ini bakal memberikan input positif kepada semua pemegang taruh dalam usaha memajukan Liga Malaysia.

“Untuk Mesyuarat Rakan Kongsi Liga, kami pun masih belum diterangkan lebih terperinci daripada segi perancangan dari MFL dan mungkin akan dimaklumkan sepenuhnya.

“Apa yang kami tahu adalah Next50 Strategic Blueprint MFL. Jadi melihat daripada perancangan itu sememangnya MFL begitu serius untuk membangunkan Liga Malaysia.

“Untuk jangkaan esok (Mesyuarat Rakan Kongsi Liga) mungkin ada kejutan daripada MFL dan kita tunggu sahaja memandangkan ada taklimat malam ini,” ujarnya.

Baca artikel lain mengenai MFL di sini:

Felda United Puas Hati Dengan Bantuan MFL

MFL Dan EVC Akan Umumkan Pakej Hak Penyiaran Dalam Masa Terdekat

MFL Bantu KAFA Selesaikan Sebahagian Tunggakan Gaji Pemain