Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Tajul Hasnan Omar, menyifatkan acuan yang tepat mampu merealisasikan impian dan misi yang terkandung dalam Next50 Strategic Blueprint Malaysian Football League (MFL) untuk pasukan Liga Malaysia mengungguli kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dalam masa 15 tahun.
Jelasnya, sasaran itu adalah realistik andai setiap pasukan ada perancangan yang menyeluruh dan teliti bagi melahirkan pemain yang berkualiti.
Apa yang penting, pengurusan pasukan dan pemain perlu bergerak seiring kerana segala perancangan tidak bermakna jika tiada pihak yang benar-benar serius dalam melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan Next50 Strategic Blueprint ini.
“Sasaran dalam Next50 adalah untuk menyertai Piala Dunia Kelab FIFA dalam tempoh 20 tahun selain menjuarai kejohanan ACL dalam tempoh 15 tahun dan saya rasa sararan itu realistik.
“Cuma apa yang kita perlu sedar adalah tugas utama di sebalik persiapan itu bukan hanya terletak di bahu pegawai pengurusan pasukan sahaja, tetapi pemain-pemain juga perlu main peranan.
“Selain itu, aspek kejurulatihan juga perlulah sistematik dengan mengikut acuan sebenar yang diinginkan bertepatan melalui apa yang dimahukan dan kalau semua itu berjalan seperti dirancang, 10 hingga 15 tahun kita dapat lihat perubahan ketara”, katanya.
Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman menganggap tidak mustahil dengan misi dan perancangan dibuat oleh MFL ini bakal membuka ruang menarik lebih ramai pemain-pemain terkemuka antarabangsa untuk menyertai kelab atau pasukan dalam Liga Malaysia termasuklah Felda United sendiri.
Apa yang pasti, Liga Malaysia perlu dikenali sebagai liga yang lebih kompetitif dan berdaya saing sepertimana termaktub dalam asas pertama Next50 Strategic Blueprint sekali gus mampu menaikkan kualiti pemain profesional selain meningkatkan tahap keseronokan dalam liga.
“Antara yang diketengahkan dalam Blueprint 50 tahun ini adalah untuk kita layak ke Piala Dunia Kelab FIFA dan menjuarai Kejohanan ACL di mana semua melihat ia boleh dicapai mengikut perancangan sebetulnya.
“Tapi dalam masa sama, saya mengambil kira juga aspek untuk kita menaik taraf liga kita di tahap lebih kompetitif kerana secara tidak langsung, kita mampu tarik lebih ramai pemain-pemain terkemuka antarabangsa bagi memeriahkan liga kita bersama pasukan atau kelab diinginkan.
“Ia termasuklah Felda United sendiri di mana kami juga perlu main peranan untuk meningkatkan kualiti kelab kami agar Felda United tidak terlepas untuk turut sama menarik minat pemain-pemain berkualiti beraksi dalam pasukan kami,” jelasnya.