Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo membuka satu akademi bola sepak di negara itu yang memberi fokus kepada pembangunan bakat muda di Vietnam.

Artikel Berkaitan:

Meskipun tidak terlibat lagi dengan skuad kebangsaan negara itu, namun Hang-seo melihat Vietnam mempunyai potensi besar di kalangan pemain muda yang mana beliau mahu memberi tunjuk ajar dengan sasaran melahirkan lebih ramai pemain bintang di masa hadapan.

Menerusi laman media sosial rasmi akademi tersebut iaitu Park Hang-seo (PHS Academy), dua lokasi pendaftaran telah diumumkan yang mana kedua-dua lokasi itu terletak di ibu negara iaitu Hanoi.

Park Hang-seo
Park Hang-seo

Kriteria yang digunakan oleh PHS Academy bermula dari usia 5 hingga 15 tahun yang mana pemain akan dibahagikan kepada beberapa skuad iaitu B-7 tahun dan B-15 tahun.

PHS Academy juga menjanjikan bukan hanya aktiviti bola sepak yang akan diajar kepada pemain dimana mereka juga akan memberi fokus kepada pembangunan individu, seperti apa yang diajar oleh kebanyakan akademi di Eropah.

Bagi menjayakan akademi yang ditubuhkan, Hang-seo mendapatkan bantuan daripada dua pakar dalam pembangunan pemain akar umbi dari Korea Selatan iaitu Kim Yong-ku dan Shin Jong-young.

Dengan reputasi gah yang dimiliki oleh jurulatih berusia 65 tahun itu di bola sepak Vietnam, ramai ibu bapa yang telah mendaftarkan anak mereka bagi menyertai akademi tersebut.

Akan tetapi, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di atas perkara ini dimana ada individu yang menyamar sebagai wakil dari PHS Academy dan menawarkan tempat dalam akademi tersebut dan meminta bayaran kepada ibu bapa.

Hang-seo mengabdikan diri untuk menjayakan akademi yang beliau tubuhkan dan ini merupakan salah satu sebab mengapa beliau menolak beberapa tawaran yang diberikan setelah meninggalkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan negara itu.